in

Penganggur simbah asid kena penjara 12 bulan

Gambar hiasan

SELAYANG, 14 Julai – Mahkamah Majistret, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang penganggur wanita warga emas kerana menyimbah cecair kimia ke arah seorang lelaki warga Pakistan, akibat tekanan kerana provokasi mangsa.

Majistret Chai Guan Hock, memutuskan hukuman berkenaan berkuat kuasa bermula tarikh tangkap pada 9 Julai lalu, selepas tertuduh, Saira Abdullah, 62, yang juga mualaf sejak 2020 mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Saira menyebabkan cedera menggunakan cecair kimia ke atas Inam Ullah, 37, dalam lif blok B, Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana, Batu Caves, jam 1.10 pagi, 4 Julai lalu.

Bagaimanapun, wanita itu mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan kerana kesalahan sama terhadap isteri Inam, Jemilah Sabda, 60, di tempat serta waktu sama, lapor BH.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, peguam Yayasan Bahagian Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh, Izleen Ismail, berkata anak guam mengalami tekanan teruk akibat diprovokasi oleh lelaki Pakistan itu.

Seorang wanita warga emas menangis teresak-esak ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pagi tadi – Gambar oleh Sinar Harian

“Saya dimaklumkan oleh tertuduh, pengadu (lelaki berkenaan) memberi provokasi untuk menjadi rakannya, justeru memberi tekanan mental yang tinggi dan tertuduh tidak dapat mengawal perasaan.

“Anak guam juga ada diabetes dan darah tinggi, selain menerima rawatan kemurungan di Hospital Selayang. Tertuduh yang tinggal bersama adik berusia 53 tahun tiada rekod lampau.

“Tertuduh menyesal, insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan. Mohon hukuman ringan (kesalahan menyimbah asid ke arah lelaki Pakistan). Satu lagi tuduhan, jaminan boleh diberikan selepas menjalani hukuman,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kejadian itu.

“Tindakan tertuduh mencederakan orang menggunakan cecair kimia tidak patut berlaku. Mahkamah perlu ambil kira kecederaan mangsa serta kesannya kepada keluarga mereka.

“Faktor kepentingan awam perlu mengatasi kepentingan tertuduh. Perlu juga diambil kira kekerapan kes simbah cecair kimia yang dilaporkan media dan akhbar sejak kebelakangan ini.

“Bagi satu lagi pertuduhan, tiada jaminan ditawarkan,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi satu lagi kesalahan, selain menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Nilai ringgit kembali meningkat

RazarudinHusain

Polis rekod keterangan Guan Eng