KUALA LUMPUR, 14 Julai – Polis telah merekod keterangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses merekod keterangan dua ahli politik itu dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Keterangan Guan Eng dirakam di Pulau Pinang pada Jumaat, manakala Abdul Hadi pada semalam (Khamis) di pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
“Kertas siasatan kedua-dua ahli politik ini sedang dilengkapkan sebelum dihantar ke pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya hari ini.
Pada Khamis, Razarudin dalam sidang media memberitahu pihaknya membuka 61 kertas siasatan berkaitan isu 3R sejak 27 Mac lalu.
Kertas siasatan berkaitan isu 3R dibuka membabitkan ahli politik, bekas ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – nasionalkini