USAHA anak muda berusia 24 tahun memperkenalkan menu ‘fusion’ untuk warga bandar raya Kuantan sejak dua bulan lalu, mula menjadi bualan.
Memilih nama Kafe Susu Masam, namun Faris Zakaria memaklumkan tidak ada susu masam dijual di kafe miliknya itu.
Faris sebelum ini berniaga di depan rumahnya di Kempadang, kira-kira tiga tahun lalu, sebelum mengambil risiko membuka kafe di Jalan Penjara, dekat sini.

Dia yang mempunyai kelulusan diploma dalam bidang teknologi makanan dari Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), sangat teruja apabila berpeluang membina perniagaan sendiri sejak Mei lalu.
“Apa yang saya belajar di POLISAS digunakan sepenuhnya untuk menyediakan makanan di Kafe Susu Masam yang saya usahakan.
“Sejak beroperasi awal Mei lalu, sambutan diterima amat menggalakkan dan ramai yang memberi reaksi positif,” katanya ketika ditemui nasionalkini.my baru-baru ini.

Ditanya kenapa memilih nama Kafe Susu Masam untuk premis diusahakannya, Faris berkata, nama itu agak ‘catchy’ dan mudah diingat oleh pelanggan.
“Ia adalah sebahagian daripada strategi, jika kita guna yang pelik atau unik sikit, orang mudah ingat,” katanya lagi.
Dia turut berkongsi mengenai masa hampir setahun digunakan olehnya untuk mengkaji dan mencipta menu untuk kafe itu.

Katanya, pengetahuan dalam teknologi makanan banyak membantu dalam menghasilkan menu yang kena dengan selera penduduk setempat dan pengunjung dari luar Kuantan.
“Kami juga memberi perhatian kepada kualiti menu ditawarkan kepada pelanggan supaya mereka puas hati selepas menikmati setiap pesanan dibuat mereka di sini,” katanya yang pernah bekerja di beberapa hotel terkenal sekitar Kuantan.
Antara ‘signature menu’ di Kafe Susu Masam adalah Coffee Milk, bakso dan ramen, selain deretan pilihan roti dan minuman lain.

Kafe Susu Masam yang terletak di Jalan Penjara dibuka setiap hari dari jam 10.30 pagi hingga 10 malam.
Orang ramai juga boleh melawat laman sosial Facebook https://www.facebook.com/SUSUMASAMCAFE?mibextid=ZbWKwL atau Instagram https://instagram.com/kafesusumasam_official?igshid=NTc4MTIwNjQ2YQ== untuk meninjau sendiri apa ditawarkan di situ. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN