SHAH ALAM, 19 Mei – Seorang lelaki tempatan maut dengan empat kesan tembakan di bahagian kepala dalam kejadian berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat, lewat malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata pihaknya menerima laporan daripada anggota sukarelawan polis kira-kira jam 11.30 malam, memaklumkan berlaku kejadian tembak.
“Anggota sukarelawan polis yang sedang bertugas di kawasan Balai Polis Sungai Jarom mendengar beberapa letupan kuat berhampiran Balai Polis Sungai Jarom dan terus menuju ke kawasan kejadian.
“Dia melihat seorang lelaki warga tempatan sedang terbaring di bahu jalan dalam keadaan berlumuran dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Bernama.
Ahmad Ridhwan berkata, pihak klinik kesihatan Telok Panglima Garang yang hadir, mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala dan unit forensik turut menjumpai lima kelongsong peluru di sekitar tempat kejadian.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati mangsa yang berusia 39 tahun itu memiliki 13 rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Katanya, polis giat menjalankan usaha mengesan suspek dan menasihati orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya. – nasionalkini.my