Oleh Aimi Isma
LANGKAWI, 14 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 6.9 batu nautika selatan Pulau Ajar, dekat sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot itu ditahan pasukan Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin di sekitar perairan Langkawi.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tekong warga Thailand bersama tiga awak-awak warga Thailand dan Kemboja.
“Mereka yang berumur antara 34 hingga 72 tahun itu ditahan dan bot itu kita rampas.
“Turut dirampas adalah hasil tangkapan dianggarkan seberat 800 kilogram,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Romli berkata, bot dan nelayan itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tujuan siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
“Salah seorang awak-awak bot itu juga tidak mempunyai pasport selain bot berkenaan tidak menyediakan alat pemadam api seperti disyaratkan dalam lesen.
“Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara,” katanya.- nasionalkini.my