Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 29 Mei – Penganjur acara Star Vendors didesak membuat permohonan maaf susulan insiden tarian gelek berunsur lucah ketika penganjuran festival itu di Melaka, Jumaat hingga Ahad lalu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tidak cukup dengan itu, penganjuran festival itu juga perlu diharamkan daripada mengadakan sebarang acara di Melaka.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, kejadian itu adalah sesuatu yang memalukan dan tidak boleh diterima.
“Pihak penganjur Star Vendors di MITC perlu bertanggungjawab dengan tindakan melampau dan tidak menjaga sensitiviti masyarakat di Melaka.
“Aktiviti murahan seperti ini tidak diperlukan dan perlu ditentang dan kami mendesak permohonan maaf dari pihak penganjur.
“Mereka juga perlu diharamkan daripada mengadakan sebarang acara di dalam negeri Melaka!!,” tegasnya menerusi catatan di laman Facebook rasminya hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit 56 saat menunjukkan seorang pempengaruh bersama dua individu lain menyampaikan lagu dengan aksi gelek berunsur lucah.
Aksi ghairah itu dikatakan berlaku ketika festival Starvendors Foodstival Melaka 2023 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarbangsa Melaka, Ayer Keroh, Jumaat lalu.
Sementara itu, beberapa pelayar laman sosial meluahkan kekesalan terhadap insiden itu yang berlaku di pentas terbuka dan boleh dilihat pengunjung daripada pelbagai lapisan umur dan agama. – nasionalkini.my