Oleh Hajidah Miharbi
PETALING JAYA , 31 Mei – Beringat sebelum kena – itulah yang sering dilakukan pelakon, Sharifah Sakinah setiap kali menjalani penggambaran.
Jelas Sakinah, setiap kali berada di set penggambaran, dia tidak lupa untuk memasang alunan ayat al-Quran.
Tambah Sakinah, dia melakukan rutin itu di setiap set penggambaran bukan kerana ingin mengelak gangguan semata, tetapi untuk berasa tenang.
“Sebelum menjejak kaki ke lokasi penggambaran filem ‘Jemputan Ke Neraka’ di Pulau Carey, Selangor, saya dah dengar pelbagai cerita seram mengenai banglo lama yang dijadikan set penggambaran.
“Banglo itu terletak di tepi pantai, kalau tengok pemandangannya, memang sangat cantik.
“Alhamdulillah, sepanjang penggambaran tidak ada sebarang gangguan, tidak ada kru dirasuk dan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Bagaimanapun, dia memberitahu ada juga kejadian pelik berlaku ketika proses penggambaran filem itu.
“Satu hari tu tiba-tiba sahaja angin sangat kuat seperti ribut melanda set penggambaran.
“Mungkin disebabkan lokasinya di tepi pantai, jadi kami semua berlari dan masuk ke dalam kereta dan terpaksa menunggu sehingga cuaca kembali okey.
“Kalau tidak, rasanya mahu saya terbang dibawa angin sekali,” kongsi Sakinah.
Menurut Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 34, bukan di set filem ‘Jemputan Ke Neraka’ sahaja dia memperdengarkan alunan ayat al-Quran tetapi di set penggambaran lain juga dia melakukan rutin sama.
“Orang kita bila saya cakap pasang ayat al-Quran mesti mereka ingat nak halau hantu sahaja, walhal banyak kebaikan yang kita dapat daripada memasang muzik,”ujarnya.
Sambungnya lagi, sebagai pelakon yang bekerja di pelbagai lokasi penggambaran dia sentiasa mengamalkan sikap menghormati orang sekeliling dan juga lokasi tempatnya bekerja.
“Kita sudah tahu itu bukan tempat kita dan dalam al-Quran juga sudah menyebut memang ada benda-benda ghaib ini, jadi kena percaya tetapi kita pula janganlah berlebih-lebihan takut.
“Janganlah gatal kacau ‘mereka’, bersikap angkuh dan terlampau seronok ketika berada di tempat yang kita sendiri tahu adalah tempat ‘mereka’,” tutur Sakinah.
Dalam filem ‘Jemputan Ke Neraka’, Sakinah memegang watak sebagai Rania di samping barisan pelakon popular lain seperti Janna Nick, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Amy Nurtinie, Nick Syaf, Jasper Supayah, Wafariena Roslan, Alif Hadi, Aleza Shadan dan Azhar Amir.

Filem yang bergenre seram thriller itu mengisahkan sekumpulan rakan bertemu di sebuah majlis perkahwinan misteri di sebuah banglo.
Naskhah ini merupakan filem sulung pengarah Amor Rizan dan terbitan Anne Ngasri menerusi produksi AN Universal Sdn Bhd akan menemui penonton di pawagam pada 22 Jun ini. -nasionalkini.my