NEW YORK, 28 Julai – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tahap kepanasan bumi telah memasuki fasa ‘mendidih’, dan Julai ditetapkan sebagai bulan paling panas yang pernah direkodkan di dunia.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, perubahan iklim sudah tiba dan ia sangat menakutkan berikutan permulaan ke arah yang lebih serius.
“Era pemanasan global telah berakhir, era pendidihan global telah tiba. Pemimpin tak boleh teragak-agak. Tak perlu lagi tunggu orang lain bergerak dahulu, tiada masa untuk itu,” katanya.

Julai direkodkan sebagai bulan paling panas menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia dan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Suruhanjaya Eropah.
Data menunjukkan bulan Julai telah merekodkan suhu laut tertinggi pernah berlaku pada tahun ini.
Guterresmenambah terdapat kemungkinan untuk menghadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius bagi mengelakkan perubahan iklim yang paling teruk.
Dalam menghadapi musibah yang ‘tragis’ itu, beliau turut mengulangi gesaannya untuk bertindak segera terhadap perubahan iklim tersebut. – Agensi


