Oleh: Mohammad Ishak
KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Kumpulan Kesenian Persadatari memperolehi kemenangan berganda apabila berjaya merangkul tiga anugerah di Festival Tarian Antarabangsa yang berlangsung meriah di Vitosha, Bulgaria, baru-baru ini.
Ketua Pusat Kebudayaan dan Kesenian UMT, Badruhisham Darus berkata, Kumpulan Kesenian Persadatari UMT bukan sahaja mengharumkan nama universiti tetapi juga membawa nama negara selepas dipilih oleh Badan Gabungan Tari Malaysia mewakili negara ke festival berkenaan yang berlangsung 9 hingga 20 Julai lalu.
Pemilihan berkenaan dibuat berdasarkan kejayaan-kejayaan pernah diterima UMT pada pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebelum ini.

“Alhamdulillah hasil usaha keras pasukan dan komitmen semua akhirnya pasukan ini berjaya merangkul tiga anugerah iaitu juara Solo Tari Campuran (DUO), tempat ketiga keseluruhan Tari Rakyat Antarabangsa dan Anugerah Persembahan Terbaik .
“Kejayaan ini merupakan kenangan manis bagi kami untuk warga UMT selepas hampir sebulan menjalani latihan bersungguh tanpa mengenal erti penat lelah.
Kejayaan ini merupakan kenangan manis bagi kami untuk warga UMT khususnya. Tanpa sokongan semua kami tidak mampu “terbang” sejauh ini,” katanya kepada nasionalkini.my
Lebih menarik, Badruhisham menambah dalam kategori duo, iaitu Solo Tari Campuran, UMT mempertaruhkan Tarian Rakyat Terengganu sekali gus melayakkan kumpulan tersebut dipilih sebagai juara.

Festival yang berlangsung meriah itu turut disertai oleh 20 buah negara di bawah gabungan Tari Antarabangsa.
Kongsinya lagi, pengalaman membuat persembahan di negara orang membuat pasukannya lebih berhati-hati demi menjaga nama UMT dan juga negara.
Bagaimanapun akuinya kejayaan yang diterima adalah hasil titik peluh semua ahli kumpulan yang bertungkus lumus bagi mendapatkan hasil yang mantap dan berkualiti.
Selain dievolusikan dalam olahan baru bagi menjamin mendapat tempat di peringkat antarabangsa. – nasionalkini.my
.