Kuala Lumpur, 28 April – Semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diarah menghentikan segala aktiviti luar bilik darjah membabitkan murid sekiranya kawasan masing-masing mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
KPM melalui kenyataan hari ini berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM juga turut diarah melaksanakan langkah pencegahan, selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
“Semua institusi pendidikan di bawah KPM juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
“Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan, membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman,” kata kenyataan itu.
KPM memaklumkan pihaknya sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan. – nasionalkini.my