in

Rezeki pengusaha ikan bilis

IMG 20230530 095134 6 x 4 inch
Cuaca panas terik memberi peluang kepada pengusaha ikan bilis meraih pendapatan tambahan - Gambar oleh Bernama

KEMAMAN, 30 Mei – Cuaca panas memberi kelebihan kepada pengusaha ikan bilis di Kampung Tengah, Kijal, dekat sini apabila mampu mengeluarkan hasil laut yang lebih berkualiti.

Zuria Zulkifli, 35, dan suami, Wan Mohd. Zuraydy Wan Nordin, 40, yang mewarisi perniagaan keluarga berkata, cuaca panas membolehkan proses pengeringan ikan bilis lebih singkat iaitu hanya enam hingga lapan jam, berbanding sebelum ini lebih dua hari.

“Bila cuaca panas terik begini, ikan bilis dihasilkan lebih berkualiti sebab ikan bilis kering dengan elok, tidak mudah patah dan tidak cepat rosak serta tidak berbau hapak. Rasa ikan bilis yang kami hasilkan juga lebih rangup.

“Antara ikan bilis yang mendapat permintaan tinggi ialah ikan bilis jenis tembaga hitam, putih dan ikan bilis tembaga merah dan saya menjual ikan bilis ini dengan harga RM25 hingga RM28 untuk satu kilogram, bergantung kepada kualiti,” katanya ketika ditemui Utusan di premisnya, dekat sini, hari ini.

Ibu kepada lima anak itu berkata, ketika musim panas, dia mampu menghasilkan kira-kira 100 kilogram bilis sehari berbanding hanya 40 kilogram ketika cuaca tidak menentu.

“Biasanya sebelum ini kerja-kerja pengeringan hasil laut agak rumit sebab kami hanya dapat menjemurnya sekitar tiga jam sehari, kemudian terpaksa angkat dan disimpan sementara dalam peti dan proses pengeringan akan dilakukan kembali keesokan harinya sehingga ia betul-betul kering.

“Kalau cuaca panas sekarang, kami rebus bilis awal pagi, kemudian jemur ikan bilis sekitar pukul 10 pagi dan dalam tempoh kurang enam jam, dah boleh angkat ikan bilis yang dijemur,” katanya.

Zuria berkata, meskipun terdapat kaedah lain yang lebih mudah untuk proses pengeringan ikan bilis seperti menggunakan mesin pengering, namun dia tetap memilih untuk mengeringkan ikan bilis di bawah matahari secara tradisional bagi membolehkan ikan bilisnya tahan lebih lama.

Menurutnya, selain mendapat permintaan daripada penduduk tempatan, dia turut mendapat tempahan pelanggan luar negeri seperti Pahang dan lazimnya, pengunjung yang berkunjung di pantai sekitar Kijal, akan singgah ke premisnya untuk mendapatkan bilis segar.

Sementara itu, Wan Mohd. Zuraydy yang juga seorang nelayan berkata, cuaca panas ketika musim memukat ikan bilis sememangnya memberi rahmat buat keluarganya.

“Sekarang dah bermula musim ikan bilis dan biasanya berakhir bulan September. Biasanya hasil tangkapan ikan bilis agak lumayan dan kadangkala boleh dapat lebih 100 kilogram sehari.

“Bila cuaca panas, agak mudah bagi kami untuk proses ikan bilis. Biasanya, saya akan keluar memukat selepas subuh dan pulang sekitar pukul 9 pagi membawa hasil laut untuk diproses, sebelum keluar lagi memukat ikan bilis pada waktu tengah hari,” katanya.- nasionalkini.my

ilustrasi mayat 811

Maut kena tikam lepas putus tunang

IMG 20230530 WA0003

Kelemahan ringgit, subsidi bersasar tambah tekanan inflasi