in

Premis kelapa sawit dipercayai punca pencemaran sisa kimia

JAS sudah menjalankan pengawasan kualiti udara bersama HAZMAT dan mendapati kualiti udara di kawasan berkenaan kini berada pada paras baik - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU, 3 Ogos – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti sebuah premis yang menjalankan aktiviti menyimpan dan memproses hampas kelapa sawit (SPO) berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram dan Sekolah Agama Sungai Tiram, yang disyaki mungkin menjadi punca pencemaran sisa kimia di Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, kelmarin.

Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata JAS sudah menjalankan siasatan ke lokasi kejadian dan mengenal pasti premis itu.

Bagaimanapun, katanya, ketika siasatan dijalankan, premis tidak menjalankan aktiviti pemanasan SPO.

“Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MBPG) sudah mengeluarkan Notis Menghenti Operasi bermula 1 Ogos kepada premis itu yang beroperasi tanpa lesen daripada MBPG dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) .

“JAS sudah menjalankan pengawasan kualiti udara bersama Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan mendapati kualiti udara di kawasan berkenaan kini berada pada paras baik.

“JAS juga menjalankan pemantauan berkala menggunakan dron di sekitar lokasi aduan dan mendapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan serta tiada tapak pelupusan haram dikesan.

“Pemantauan di SK Sungai Tiram dan Sekolah Agama Sungai Tiram yang dijalankan JAS, bomba dan MBPG juga mendapati tiada sebarang bau busuk dikesan di sekitar kawasan sekolah selepas insiden kelmarin,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH.

Kelmarin, seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin SK Sungai Tiram di Ulu Tiram, di sini, dilaporkan mengalami simptom pening dan muntah berikutan pencemaran sisa kimia, dipercayai dibuang di sungai berhampiran.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II, Mohd Salleh Mohamed, berkata seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan sebuah jentera HAZMAT daripada BBP Larkin dengan dikejarkan ke tempat kejadian.

Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata, pemantauan kualiti air Sungai Tiram turut dijalankan JAS bersama MBPG dengan bacaan menunjukkan tahap kualiti air adalah normal.

“Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca yang berpotensi menyebabkan pencemaran bau di kawasan itu termasuk daripada premis yang menjalankan aktiviti menyimpan dan memproses SPO berdekatan dua sekolah berkenaan.

“Tindakan tegas mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (AKAS,1974) akan dikenakan ke atas premis yang melakukan pencemaran.

“JAS meminta orang awam melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800- 88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.- nasionalkini.my

Dokumentari Jho Low ditayang di AS

363348602 864258438389058 630550462991816196 n

Perdana Menteri zahir ucapan takziah kepada Sultan Terengganu