Oleh Adnan Mohamad
SETIU, 29 Julai – Seramai 212 golongan asnaf dari Kedah dan Selangor ‘tersadai’ di Jeti Merang dekat sini selepas lima bas membawa mereka ke Pulau Redang enggan menghantar mereka akibat penganjur gagal membayar sewa bas itu.
Mereka yang datang dari Kulim, Kedah aeramai 127 orang, 59 dari Baling dan 26 dari Selangor mengikuti percutian ditaja sebuah badan amal di Selangor semalam.
Bagaimanapun, selepas rombongan terbabit selesai bermalam di pulau berkenaan, mereka bertolak balik pada pagi tadi ke Jeti Merang untuk pulang ke kampung masing-masing.
Namun, sebaik tiba di jeti jam 11 pagi tadi, pemandu bas enggan bertolak kerana dikatakan sewa lima buah bas itu belum dibayar.
Seorang peserta dari Kulim, Salmiah Mohamad, 52, berkata, masalah itu menyebabkan para peserta rombongan terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas menjadi kelam kabut.

“Kami yang mengikuti rombongan ini adalah daripada golongan asnaf atau kurang berkemampuan dan kami ke sini kerana ditawarkan oleh sebuah badan amal untuk berehat di Pulau Redang selama satu malam.
“Badan amal itu tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap kami, kecuali kami perlu membayar sebanyak RM10 setiap seorang,” katanya ketika ditemui, petang tadi.
Masalah itu kemudiannya telah mendapat perhatian Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Sabri Mohd Nor yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap.
Sabri yang tiba di Jeti Merang berjumpa peserta terbabit dan berjaya menyelesaikan masalah mereka.
Rombongan itu berjaya bertolak pulang ke kampung masing-masing dengan bas sama sekitar jam 6.30 petang tadi.- nasionalkini.my