in

Giliran Pahang jadikan Kelantan ‘lauk’

IMG 20230624 065113 800 x 500 pixel
Pemain Sri Pahang FC meraikan kemenangan bergaya mereka membelasah Kelantan FC 0-5 di Kota Bharu, malam tadi - Gambar oleh MFL

KOTA BHARU, 24 Jun – Kelantan FC terus kemarau kemenangan apabila kecundang 5-0 di tangan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Tampil dengan hampir separuh pemain baharu, terutamanya barisan skuad bawah 23 tahun, tuan rumah dikejutkan dengan gol awal pelawat minit ketujuh hasil jaringan pemain naturalisasi, Sergio Aguero.

Pada minit ke-20, Muhaimin Izzudin Muhamad Asri gagal dalam usaha menyamakan kedudukan apabila sepakannya melambung tinggi melepasi palang gol.

Tok Gajah menggandakan kedudukan apabila pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim, Fadhli Shas menanduk masuk tiga minit selepas rehat.

Antara aksi menarik dalam perlawanan antara Kelantan FC dan Sri Pahang FC malam tadi – Gambar oleh MFL

Anak buah Fandi Ahmad terus menghukum benteng tuan rumah apabila Kpah Sherman meledak masuk gol ketiga pada minit ke-58 sebelum Fadhli menambah gol keempat dan kedua peribadinya tiga minit kemudian.

Sherman, penyerang berusia 31 tahun dari Liberia, melengkapkan malam penuh gembira buat Sri Pahang dengan gol kelima empat minit sebelum wisel penamat.

Kemenangan itu membolehkan Sri Pahang melonjak ke tangga ketiga Liga Super dengan 31 mata selepas 15 perlawanan, sama mata dengan pasukan tangga kedua Selangor FC, lapor BH.

Kelantan FC kekal terperosok di tangga tercorot liga dengan hanya mengumpul empat mata selepas 14 perlawanan. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Adly vetera

Mindef lulus 43 rumah baharu, hasrat perbanyak bina kediaman veteran ATM

IMG 20230618 103454 800 x 500 pixel

Polis serbu premis pelaburan tukar mata wang dalam talian