ISKANDAR PUTERI, 4 Julai – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus gah di puncak Liga Super dengan mengekalkan rekod bersih tanpa kalah selepas membenam Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
Ia boleh dianggap kemenangan moral buat skuad kendalian Esteban Solari yang akan bertembung skuad bimbingan Bojan Hodak pada pentas final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai ini.
Skuad Harimau Selatan tidak perlu menunggu lama membuka tirai jaringan apabila bola rembatan Leandro Velazquez tepat menuju ke arah Diogo Luis Santo yang sempat menampan bola untuk memastikan bola menerjah jaring sekali gus menewaskan Muhammad Azim Al-Amin Kamarudin pada minit ke-11, lapor BH.
Selang dua minit kemudian, JDT meledak gol kedua apabila bola sepakan jauh Shane Lowry tepat kepada Arif Aiman Hanapi yang bertindak mengawal bola sebelum merembat bola leret masuk di celah kaki Muhammad Azim Al-Amin.
Ketika aksi memasuki minit ke-35, tuan rumah menghukum kelemahan benteng pertahanan skuad The City Boys selepas bola sepakan lintang Davies menyaksikan Diogo melonjak tinggi menanduk bola untuk menewaskan penjaga gol KL City FC.
KL City FC terus menderita selepas JDT mencipta gol keempat ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan pada babak pertama apabila Diogo meledak hatrik pertama dalam saingan liga.
Bersambung babak kedua, KL City memberi tekanan terhadap benteng tuan rumah dan berjaya mencipta gol pada minit ke-54 selepas berlaku kekalutan di benteng JDT.
Kesempatan itu digunakan Matko Zirdum untuk menendang bola tepat ke arah gol walaupun penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed cuba mengeluarkan bola tetapi penjaga garisan 1, Mohamad Zairul Khalil Tan mengesahkan jaringan itu.
JDT berjaya membolosi gawang pelawat selepas pemain gantian, Safiq Rahim menyudahkan bola umpanan seorang lagi pemain gantian, Juan Muniz pada minit ke-86.
Ahkyar Rashid melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol keenam dua minit sebelum tamat aksi. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN