in

UPNP rampas jengkaut buka tanah secara haram

IMG 20230507 WA0010
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 14 Julai – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Zon Pahang Barat melakukan serbuan di satu kawasan yang dijalankan aktiviti pembukaan tanah secara haram di atas tanah kerajaan di Raub petang semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberitahu, berdasarkan maklumat diperoleh, anggota UPNP Zon Pahang Barat melakukan rondaan penguatkuasaan sekitar daerah Raub kira-kira jam 3.30 petang.

“Setibanya di Sungai Rambai, anggota UPNP mendapati sebuah jentera jengkaut sedang melakukan kerja-kerja membersihkan sekitar kawasan tersebut.

“Anggota operasi bertindak menahan jengkaut itu, namun pemandunya sempat melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota UPNP.

“Kemudiannya, seorang lelaki tampil dan memperkenalkan diri sebagai pemilik jengkaut dan pegawai serbuan meminta lelaki itu menunjukkan dokumen kelulusan atau permit berkaitan aktiviti dilakukan, namun gagal,” katanya melalui satu hantaran di laman Facebook miliknya malam tadi.

Katanya, anggota UPNP kemudiannya bertindak merampas jentera itu untuk tujuan siasatan.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu pendudukan secara tak sah di atas tanah kerajaan.

“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan negeri tidak sesekali berkompromi dengan sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram di mana-mana kawasan pun di negeri ini.

“Malah, saya juga telah meminta UPNP meneruskan operasi penguatkuasaan setiap masa bagi memastikan aktiviti sebegini dapat dibanteras,” tambah beliau.- nasionalkini.my

bhspr03 1688356558

Mesyuarat PRK Parlimen Kuala Terengganu 18 Julai

Henderson sertai Gerrard di Al-Ettifaq