Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 25 Jun – Sebanyak RM2.5 juta disediakan kerajaan negeri bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sejak 2021.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan itu disalurkan kepada 2,500 usahawan PMKS yang merekodkan jualan tidak melebihi RM50,000.
Menurutnya daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta diperuntukan dari tahun 2021 hingga 2022 melibatkan 2,000 usahawan yang mendapat manfaat sebanyak RM1,000 secara one-off.
“Manakala bagi tahun ini, tambahan dana sebanyak RM500,000 disediakan kepada seramai 500 usahawan agar ianya dapat memberi manfaat kepada seluruh ekosistem keusahawanan di Melaka.
“Bantuan ini disalurkan menerusi Dana Bantuan Kasih Niaga yang diuruskan Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Minggu PMKS 2023 Zon Selatan bersempena Minggu Usahawan Negara di Pasar Raya Mydin MITC, di sini.
Hadir sama Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, Melaka setakat ini mempunyai kira-kira 1.2 juta penubuhan perniagaan dengan 3.5 peratus daripadanya adalah PMKS. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN