Oleh Luth Adwa
FELDA tidak gagal dan kekuatan agensi ini adalah peneroka manakala generasinya adalah aset negara.
Menyingkap sejarahnya, FELDA ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) untuk pembangunan tanah dan penempatan semula (di bawah GSA-Group Settlement Areas – Akta 530).
Objektif utamanya adalah pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.
Antara fungsi FELDA adalah untuk melaksanakan projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.
Pada tahun 1990, FELDA tidak lagi membuat pengambilan peneroka baru selepas 112,635 peneroka ditempatkan di 317 tanah rancangan di seluruh negara.

Selama 67 tahun, peneroka setia berkhidmat kepada FELDA biarpun pendapatan atau gaji diperoleh ada pasang dan surutnya.
Namun, kesetiaan peneroka kepada agensi ini tidak berbelah bahagi dan ia tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak termasuk kerajaan dan pihak pengurusan FELDA sendiri.
Yang membanting tulang tidak kira hujan atau panas pergi ke ladang sawit adalah peneroka sendiri, selepas itu ia diteruskan oleh anak peneroka.
Peneroka masih setia menyokong FELDA
Jadi, adakah isu kegagalan FELDA adalah salah peneroka? Pihak peneroka rata-ratanya sentiasa akur dengan arahan ataupun garis panduan dibuat FELDA.
Biarpun ada segelintir peneroka memilih tidak bersama FELDA, namun ia bukan indikatornya dan hasil ladang yang semakin menurun serta kualiti pengurusan ladang yang semakin kurang baik akan menjadikan hasil yang tidak baik.
Malah belum lagi isu lain seperti perumahan generasi baharu FELDA dan isu tanah lot kosong yang sedang berlegar di kebanyakan tanah rancangan ketika ini.

Penulis melihat kegagalan tadbir urus menyebabkan FELDA hilang arah tujuan asal iaitu kelapa sawit dan getah yang mana ia boleh dipertingkatkan lagi dengan produk pertanian hiliran serta produk yang boleh memberikan pulangan tinggi secara konsisten kepada peneroka dan agensi itu.
Usahlah hanya menyalahkan peneroka sahaja, sebaliknya apa yang FELDA perlu lakukan adalah satu urus tadbir dan undang-undang membabitkan kombinasi kerajaan dan korporat.
Sudah tentu generasi anak FELDA yang sudah menjangkau lebih tiga juta orang ketika ini memang mengharapkan tindakan luar biasa untuk agensi ini dan pasaran produk tersusun, bukan ‘syok sendiri’ semata.
Jadi, campur tangan kerajaan untuk menyelamatkan FELDA dan memberikan ruang kepada agensi ini adalah perkara cukup baik, tetapi ada beberapa perkara pokok perlu dilihat dan diperhalusi.
Perkara utama adalah membabitkan soal tadbir urus FELDA untuk ladang dan keberhasilan ladang sawitnya.
Percayalah pahit perlu ditelan jua namun untuk mendapat manisnya perlu ada beberapa pengorbanan, sama ada di pihak FELDA atau peneroka.- nasionalkini.my