MELAKA, 10 Julai – Kerajaan negeri mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Warisan serta Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) supaya memantau kebersihan di lokasi yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ini bagi memastikan Tapak Warisan Dunia itu sentiasa bersih dan program dapat diadakan bagi menarik kemasukan pengunjung ke negeri ini.
“Tahniah kepada semua pihak yang terbabit memulihara semua bentuk warisan ketara dan tidak ketara di Melaka sehingga berjaya mengkomersialkan khazanah warisan sejarah sebagai produk pelancongan popular yang menjadi tumpuan pelancong dalam mahupun luar negara.
“Ia sekali gus membolehkan Melaka menerima anugerah Grand Winner of Jean Paul L’Allier Prize for Heritage of The Organization of World Heritage Cities (OWHC) pada 9 September 2021 oleh The Organization of World Heritage Cities (OWHC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Melaka Heritage Celebration sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini, malam tadi.
Perasmian majlis bertemakan Warisan Untuk Generasi itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, lapor BH.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; EXCO Kanan negeri, Datuk Rais Yasin serta EXCO Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman.
Pelbagai acara diadakan sempena majlis perasmian itu, antaranya persembahan khas muzikal daripada beberapa artis popular tanah air.
Pada 7 Julai 2008, Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang secara rasminya diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di Persidangan ke-32 di Quebec, Kanada.
Ia adalah penghargaan terhadap usaha berterusan kerajaan negeri dalam memulihara bangunan serta warisan sejarah lebih 600 tahun dahulu, sekali gus meletakkan Melaka sebagai satu daripada destinasi pelancongan yang terunggul.
Ab Rauf berkata, sejajar dengan tema sambutan itu, Tapak Warisan Dunia adalah kawasan yang mempunyai kepentingan budaya semula jadi yang diiktiraf oleh UNESCO kerana nilai sejagatnya yang luar biasa.
Katanya, lokasi itu mempunyai pelbagai cerita sejarah di sebaliknya termasuk runtuhan purba, monumen bersejarah, landskap semula jadi dan amalan budaya.- nasionalkini.my