Oleh AD Zafir
KUANTAN, 12 Julai – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukan RM800,000 bagi pelaksanaan tukun tiruan di perairan negeri Pahang, tahun ini.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, tukun tiruan itu akan diletakkan di perairan utama, khususnya di daerah Rompin dan Pekan.
“Tukun tiruan ini sebenarnya bawah Jabatan Perikanan tapi bagi meningkatkan basil tangkapan nelayan kita, LKIM bersedia meluluskan sedikit peruntukan.
“Kita luluskan RM800,000 bagi negeri Pahang ini dan meletakkan tukun di kawasan yang kita pilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Pahang di Pasar Nelayan LKIM Balok, hari ini.
Seramai 30 nelayan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan menerima Bantuan Peralatan Penangkap Ikan (Touch Point) berupa seunit tong ikan berinsulasi, dua unit pukat dan 100 unit pelampung dengan nilai keseluruhan RM17,000.
Penyerahan bantuan itu bagi meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan selain meningkatkan produktiviti sektor perikanan.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, nelayan negeri ini tidak perlu risau lagi mengenai dakwaan terdapat kemusnahan tukun di perairan Pahang.
Katanya, kerja melabuhkan tukun tiruan itu dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat.- nasionalkini.my