KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) paling banyak dibeli pelabur asing dari segi nilai pada Julai lalu.
Ia diikuti Maybank, KL Kepong, Malaysia Airports dan Public Bank berdasarkan data daripada Dibots.
Pelabur asing membeli saham TNB bernilai RM462.5 juta yang mewakili 32.7 peratus daripada jumlah keseluruhan belian bersih RM1.41 bilion pada bulan dikaji.
Maybank sebanyak RM292.9 juta (20.7 peratus), KL Kepong RM212.9 juta (15 peratus), Malaysia Airports RM158.2 juta (11.2 peratus) dan Public Bank RM148.2 juta (10.5 peratus).
Menurut penganalisis Maybank Investment Bank, Wong Chew Hann, jualan teratas oleh pelabur asing pada Julai pula ialah CIMB, Hong Leong Bank, RHB Bank, Petronas Chemical dan Telekom.
Katanya, bagi tempoh tujuh bulan pertama 2023, jualan teratas oleh pelabur asing ialah CIMB, Public Bank, Petronas Chemical, RHB Bank dan Hong Leong Bank.
“Bagi pembelian teratas ialah Gamuda, Malaysia Airports, Maybank, CelcomDigi dan YTL.
“Julai menyaksikan aliran positif apabila pelabur asing membeli bersih RM1.41 bilion ekuiti selepas 10 bulan berturut-turut mencatatkan jualan bersih sebelum ini,” katanya kepada BH.
Sebelum ini MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam Laporan Aliran Dana untuk minggu dagangan berakhir 28 Julai melaporkan, pelabur asing meneruskan pembelian di Bursa Malaysia bagi minggu ketiga berturut-turut, membeli ekuiti bernilai RM637.8 juta minggu lalu.
Bank pelaburan itu menjelaskan pelabur asing menjual bersih RM18.6 juta pada Isnin, namun bertukar menjadi pembeli bersih untuk baki tempoh dagangan minggu lalu.
“Aliran masuk bersih tertinggi dicatatkan Jumaat iaitu RM181.4 juta. Antara Selasa dan Jumaat, aliran masuk bersih daripada pelabur asing pada purata RM164.1 juta sehari,” tambahnya.
Tiga sektor teratas yang merekodkan aliran masuk bersih oleh pelabur asing minggu lepas ialah utiliti (RM253.4 juta), perladangan (RM127.8 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM86.3 juta).
Sementara itu, tiga sektor yang mengalami aliran keluar bersih minggu lepas adalah amanah pelaburan hartanah (REIT) (-RM22.6 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM22.4 juta) dan telekomunikasi dan media (-RM8.0 juta).
“Bagi tahun ini setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih RM3.06 bilion,” katanya.- nasionalkini.my