in

Blok wanita, kanak-kanak HTAA mula dibina bulan depan

IMG 20230529 190255 scaled
Dr Zaliha (dua dari kanan) melawat Klinik Kesihatan Bukit Goh, dekat Kuantan, baru-baru ini

Oleh Arman Dhani Zafir

KUANTAN, 29 Mei – Pembinaan blok wanita dan kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), dekat sini dijangka bermula bulan hadapan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pembinaan itu akan dimulakan selepas proses lantikan kontraktor utama selesai.

Menurutnya, projek berkenaan dijangka mengalami kelewatan dari tempoh dijangka siap yang ditetapkan sebelum ini.

Projek itu sepatutnya disiapkan tahun 2026.

“Pembinaan blok wanita dan kanak-kanak ini telah diluluskan dalam Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) pada tahun 2019 dengan kos berjumlah RM605 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas memgadakan lawatan ke HTAA, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, pihak kementerian turut mengemukakan anggaran pertambahan kos bagi pembinaan blok itu.

Jelasnya, peruntukan tambahan sebanyak RM158.3 juta diluluskan bagi pembinaan blok bercirikan komponen Infectious Disease (ID).

“Antara skop projek ini termasuklah membina blok Wanita dan Kanak- Kanak bercirikan ID dengan kapasiti 376 katil merangkumi komponen seperti kecemasan, wad rawatan harian, klinik pakar, klinik pembedahan, unit rawatan rapi, bilik bersalin, bilik menyusu dan pelbagai komponen sokongan lain.

“Projek ini dijangak memberi manfaat kepada anggaran 564,000 penduduk, khususnya di seluruh daerah ini,” katanya.

Sementara itu, kerajaan melalui KKM memperuntukkan RM1.12 bilion untuk penambahbaikan keseluruhan pusat perubatan di Pahang.

Tambah beliau, peruntukan terbabit merangkumi penambahbaikan klinik kesihatan daif, peralatan dan bangunan hospital yang perlu dibaikpulih. – nasionalkini.my

IMG 20230529 WA0052

Amukan ‘bernilai’ RM3,000

Menu Rahmah kini di KFC, Pizza Hut