Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 29 Mei – Padah menumbuk muka dan merosakkan telefon bimbit kekasihnya kerana enggan meminjamkan kereta, seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, David Juan Kee Hean,36, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu secara sengaja didapati menyebabkan kecederaan terhadap Seow Li Cha, 34, dengan menumbuk muka dan mata kanan serta siku kiri mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Honda City di hadapan rumahnya di Jalan Kenangan 1/4, Taman Kenanga Seksyen 1 di sini kira-kira pukul 10 malam 1 Julai 2022.
Sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding sama, tertuduh turut didapati bersalah di bawah Seksyen 427 kanun sama kerana menyebabkan kerosakan dan kerugian ke atas telefon bimbit Samsung milik mangsa pada tarikh, masa dan di tempat sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya setahun sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh melepaskan marahnya dengan bertindak menumbuk muka, mata kanan dan siku kiri mangsa sehingga luka selepas mangsa enggan meminjamkan keretanya serta menolak untuk menghantarnya ke kedai.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman ringan dengan alasan telah insaf.
Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kecederaan dan kerugian RM240 dialami mangsa.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mazana menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara empat bulan jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama.
Tertuduh turut didenda RM2,000 atau 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua sebelum membayar denda tersebut. – nasionalkini.my