in

Ibu tunggal tabah jaga anak sakit jantung, paru-paru kronik

Shahmiza tabah menjaga anak bongsunya, Intan Nur Qaseh Az Zahra yang terlantar akibat sakit jantung dan paru-paru kronik sejak tiga tahun lalu

KUANTAN, 7 Ogos – Seorang ibu tunggal, Shahmiza Yaakob, berdepan kesukaran menjaga anak bongsunya yang sakit jantung dan paru-paru kronik.

Ini kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap.

Lebih menyukarkan lagi, selain Qaseh, Shahmiza juga mempunyai lima lagi anak, termasuk seorang yang kini belajar di tingkatan lima.

Shahmiza berkata, dia memerlukan lebih RM1,000 sebulan untuk menguruskan anaknya, Nur Iman Qaseh Az Zahra Mohd Haiman yang kini berusia 11 tahun.

“Sebelum dikesan menghidap penyakit ini, Qaseh adalah seorang kanak-kanak yang aktif dan ceria.

“Semuanya berubah selepas dia diserang sawan ketika berusia sembilan tahun.

“Kami membawanya ke klinik berhampiran untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi pemeriksaan lanjut.

“Ketika di HTAA, Qaseh ditidurkan kira-kira dua minggu sebelum doktor memaklumkan anak saya tidak lagi boleh kembali sihat seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Kampung Kurnia, dekat sini.

Shahmiza Yaakob

Sejak disahkan menghidap sakit jantung dan paru-paru kronik, Qaseh hanya mampu terlantar di katil dan mengharapkan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kos untuk menyediakan susu khas bagi anaknya itu sahaja mencecah RM800 sebulan.

“Itu belum termasuk kos untuk membeli lampin pakai buang dan peralatan lain untuk operasi mesin bantuan pernafasan,” katanya lagi.

Shahmiza memaklumkan dia menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat Pahang juga memberikan bantuan bulanan RM500.

“Wang bantuan itu boleh meringankan sedikit bebanan kami,” katanya.

Dia memaklumkan bil elektrik di rumah mereka tinggal sekarang juga tertunggak dan sudah beberapa kali menerima amaran supaya menjelaskan bil itu.

“Jumlahnya bukan sikit, berbelas ribu juga dan saya akui memang tak mampu nak bayar.

“Kalau (bekalan elektrik) kena potong, memang bermasalah untuk Qaseh kerana mesin digunakan itu memerlukan kuasa elektrik untuk berfungsi,” ujarnya.

Shahmiza juga memberitahu kadang-kadang terpaksa meminjam wang daripada kenalan untuk menyediakan susu khas untuk Qaseh.

Katanya, antara yang sering membantu adalah doktor dan jururawat HTAA yang mengenalinya dan tahu nasib mereka sekeluarga.

“Saya bukannya tak mahu bekerja, memang saya nak tapi keadaan Qaseh tidak mengizinkan saya meninggalkan rumah kerana ada ubat yang digunakan perlu dibancuh dan diuruskan dengan teliti.

“Kalau boleh saya nak lihat dia sihat seperti dulu, walaupun doktor cakap peratusan untuk pulih seperti sedia kala sangat tipis,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga Shahmiza dan adik Qaseh boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0611241 1000 38077 atas nama Mohamad Haizad Shahrilman Mohd Haiman.

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keperluan adik Qaseh pula boleh menghubungi talian 013-831 2023.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

https://www.nasionalkini.my/semasa/setempat/bayi-usia-22-hari-perlu-sumbangan/

61691323766 MuhammadZakiHarun

PRN: Polis Kelantan buka empat kertas siasatan

WhatsApp Image 2023 05 09 at 9.19.03 PM

 Harga jalur lebar akan lebih murah, bulan depan