KUALA LUMPUR, 2 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghulurkan sumbangan kepada anak seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali yang terbabit kemalangan.
Kemalangan itu mengakibatkan Sazali mengalami kecederaan sehingga dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU).
Melalui hantaran di laman sosial Facebook, Anwar berkata penyerahan sumbangan itu dilakukan Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi petang semalam.
“Baru-baru ini timbul laporan yang memberitakan penderitaan yang merundung saudara Sazali yang merupakan anak kepada seniman agung negara, Almarhum P Ramlee.
“Malang buat beliau tatkala terbabit dengan kemalangan sehingga jatuh dalam kategori OKU dan tidak lagi punya kekuatan untuk bekerja dan mencari rezeki.
“Kini isterinya memerlukan perhatian dan rawatan segera dari doktor akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher,” katanya.
Anwar dalam pada itu berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban ditanggung Sazali dan isteri.
“Saya mendoakan urusan rawatan dipermudah serta lekas diberi kesembuhan oleh Allah SWT, insya-Allah,” katanya.- nasionalkini.my