in

Agong berkenan rasmi pusat kesihatan dan rehabilitasi WQ Park

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan beramah mesra dengan Anisa Sumayyah Mohd Hafizuddin yang sedang melakukan demonstrasi terapi seni ekspresif ketika melawat Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park Kuantan, Pahang pada majlis perasmian pusat tersebut hari ini - Gambar oleh Bernama

KUANTAN, 2 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park di Indera Mahkota, di sini.

Seri Paduka dalam titah baginda menzahirkan penghargaan di atas pembukaan cawangan pertama di Pahang dan kelima di dalam negara, yang dilihat dapat memberikan manfaat kepada masyarakat pelbagai lapisan usia.

Baginda bertitah pusat rawatan itu boleh diibaratkan sebagai terkemuka di negara ini dan ia adalah aset amat berharga kepada rakyat Malaysia, khususnya warga Pahang dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Masih segar dalam ingatan saya 13 tahun lepas, saya rasmikan WQ Park ypertama di Kelana Jaya (Selangor) dan sehingga kini ia begitu padat dengan pesakit untuk mendapatkan rawatan.

“Sejak penubuhannya seperti dinyatakan… 50,000 pesakit telah dapat dirawat termasuk saya dan anakanda, dan saya berterima kasih atas keprihatinan terhadap saya dan keluarga,” titah baginda, lapor Bernama.

Turut berangkat ke majlis berkenaan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda-anakanda termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri, Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman dan Pengarah Urusan Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park Datuk Seri Dr Zulkharnain Ismail.

Selain menggunakan teknologi terkini dalam memberikan rawatan, baginda bertitah WQ Park turut menyediakan perkhidmatan WQSenses Park bagi kanak-kanak kurang upaya yang dilihat dapat membantu perkembangan anak-anak istimewa di Pahang.

Baginda turut menzahirkan harapan lebih banyak pusat kesihatan dan rehabilitasi dibuka di negara ini supaya lebih ramai rakyat menerima manfaatnya.- nasionalkini.my

KPDN perkenal baja Rahmah tidak lama lagi

Waris mangsa tragedi kepala air terima cek sumbangan kerajaan Pahang