KUALA LUMPUR, 12 September – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga penyampai berita Nightline TV3, Muhammad Zaman Goh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Raymond Goh yang meninggal dunia pagi ini.
Turut menzahirkan ucapan takziah, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia penyiaran tanah air.
“Seri Paduka baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” demikian menurut catatan itu, lapor Bernama.
Goh, 62, meninggal dunia pagi ini selepas dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat diserang angin ahmar dan dimasukkan ke sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor pada 30 Ogos lalu.
Allahyarham memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 o’clockNews dan kemudian beralih kepada siaran Nightline TV3.
Allahyarham berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan turut menjadi jurulatih untuk pengucapan awam.- nasionalkini.my