in

Muzium jadi perantara pelajar, masa silam

Majlis pelancaran buku 'Budi Pujangga' dan Kelab Pendidikan Muzium Pahang oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Methodist Girl School Kuantan, hari ini

KUANTAN, 11 September – Penubuhan Kelab Pendidikan Muzium Pahang dapat menjadi jambatan kepada pelajar memahami lebih mendalam mengenai sejarah negeri Pahang.

Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal, berkata hubungan antara masyarakat dengan muzium perlu dirapatkan supaya banyak fakta sejarah yang terpesong sebelum ini, dapat diperbetulkan.

“Banyak fakta sejarah yang salah, tapi tiada usaha untuk membuat semula atau memperbetulkan fakta itu.

“Begitu juga dengan sejarah Melaka yang sebenarnya sangat hebat dan luar biasa.

“Kehebatan senjata digunakan ketika (zaman) Kesultanan Melayu Melaka, perlu ditulis semula agar ia tidak direndah-rendahkan oleh pihak tertentu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Budi Pujangga’ dan Kelab Pendidikan Muzium Pahang di Methodist Girl School, hari ini.

Majlis pelancaran buku ‘Budi Pujangga’ dan Kelab Pendidikan Muzium Pahang oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Methodist Girl School Kuantan, hari ini

Pelancaran dilakukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir Speaker dewan undangan negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Exco Kanan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.

Ahmad Farid juga sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang kerana menyokong usaha penubuhan kelab berkenaan.

Katanya, melalui kelab itu, dapat memberi maklumat tepat kepada pelajar berkaitan sejarah setempat dan dunia.

“Kita juga sudah menandatangani memorandum persefahaman dengan 10 universiti untuk merancakkan lagi proses penyampaian maklumat sejarah kepada masyarakat,” katanya lagi.

Gambar hiasan oleh Perbadanan Muzium Negeri Pahang

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga Diraja Pahang yang begitu prihatin dengan kepentingan sejarah dalam pembentukan komuniti berpengetahuan mengenai asal usul tamadun.

“Pahang adalah negeri yang terkedepan dalam hal ini, dan kalau di negara maju, muzium diletakkan di bawah kementerian pendidikan.

“Jadi, kita berterima kasih kepada semua pihak, terutamanya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang sentiasa memberi sokongan kepada kami di Perbadanan Muzium Negeri Pahang,” katanya. – nasionalkini.my

PRK Pelangai bukan tugas mudah

Rumah Raymond Plen punya sejarah tersendiri