Oleh: Adnan Mohamad
Lazimnya majlis berbuka puasa beramai-ramai diadakan di masjid atau surau bagi memudahkan solat selepas berbuka.
Namun kini budaya itu kini beralih di pantai dan di padang atau di tempat awam.
Di Setiu pengurusan Kawasan Rukun Tetangga (RKT) di Bukit Grebar, Setiu dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Bukit Grebar dan Persatuan Belia kampung mengadakan majlis berbuka puasa di pekarangan balai raya kampung berkenaan, semalam
Majlis berkenaan merupakan acara tahunan yang dilakukan setiap kali bulan Ramadan.

Pengerusi KRT Bukit Grebar, Yahya Mohd Nor berkata, penganjuran kali ini mendapat sambutan menggalakan dalam kalangan masyarakat setempat sekali gus dilihat menyemarakkan lagi bulan mulia ini.
Lebih 200 penduduk yang menyertai dan masing-masing membawa keluarga untuk menyertai program berbuka puasa berkenaan.
Namun seperti biasa katanya kaum wanita menjadi aset terpenting dalam menjayakan majlis istimewa berkenaan apabila juadah berbuka puasa dilakukan secara bergotong-royong.
“Menariknya, majlis berbuka puasa ini dilakukan di kawasan terbuka dan penduduk disediakan kanvas untuk berkumpul di kawasan pekarangan balai raya berkenaan .
“Manakala kaum wanita pula ditempatkan di kawasan dalam balai raya berkenaan untuk menjamu selera.

“Hidangan pula disediakan oleh penganjur yang dilakukan secara bergotong-royong,” katanya ketika ditemui NasionalKini, semalam.
Yahya berharap aktiviti kemasyarakatan ini dapat diteruskan untuk masa akan datang dan dijadikan contoh kepada pihak lain kerana bukan sahaja diadakan secara meriah tetapi mampu mengeratkan silaturahim sesama masyarakat. -NasionalKini
