KUALA TERENGGANU 15 April – Barisan Nasional (BN) Terengganu dan Kelantan melakukan strategi luar biasa apabila berhasrat meletakkan lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan dan Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hasil rundingan awal berhubung agihan kerusi antara kedua-dua parti itu sebelum ini menunjukkan perkembangan yang baik.
“Bagaimanapun, keputusan rundingan agihan itu akan dimuktamadkan selepas sambutan Aidilfitri.
“Parti juga akan mengadakan proses saringan calon-calon. Di Kelantan dan Terengganu keputusan kita adalah untuk mendapatkan lebih banyak kerusi kerana mereka lebih ke depan.
“Ia juga atas rekod mereka lebih lama di dua negeri ini dan kita punya prinsip untuk dua negeri ini,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis Iftar Ramadan di Kuala Terengganu, semalam.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) memberi bayangan untuk memberi tumpuan di kawasan bandar dan beberapa faktor perlu diambil kira termasuk prestasi menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Itu antara gambaran kitalah dan macam Amanah mereka juga ada kekuatan dia dan BN ada kekuatan dia tapi kita akan bukan hanya itulah satu prestasi lama termasuk pada PRU15.
“Kita perlu tengok demografi dan sebagainya kerana kita tahu misalnya, Keadilan. Kita tahu parti pelbagai kaum contohnya kawasan di bandar yang lebih banyak bukan Melayu, jadi kita ada sedikit kelebihan. Itu antara pertimbangan yang kita ambil kira,” katanya.
Sebelum ini, enam negeri dilaporkan sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.
Ini membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah,dan Terengganu.
Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini di bawah pentadbiran PH sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan di bawah Perikatan Nasional (PN).