KUALA LUMPUR 14 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk tidak mengabaikan negeri-negeri pembangkang sebaliknya membina hubungan baik demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat seluruh negara terbela.
Beliau menegaskan kerajaan pimpinannya hari ini mengutamakan keperluan yang diminta kerajaan negeri yang bersifat mendesak meskipun terdapat perbezaan politik.

Beliau memberikan contoh di Kelantan apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Golok, Kelantan, susulan masalah banjir yang sering dialami negeri itu baru-baru ini.
“Masalah banjir di Kelantan lebih berat daripada masalah banjir di Permatang Pauh, jadi kita kena beri keutamaan kepada Kelantan walaupun kerajaan negeri itu di bawah pimpinan parti berbeza,” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu beliau berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Pada majlis itu, Anwar meluluskan peruntukan RM5.4 juta ringgit bagi melengkapkan dana pembinaan Masjid Mengkuang Titi di Kubang Semang , Pulau Pinang.
Projek yang menelan kos keseluruhan RM9 juta itu dijangka akan memulakan kerja pembangunan tahun hadapan dan siap sepenuhnya pada 2025.

Dalam pada itu, Anwar berkata, lawatannya ke Terengganu esok juga membuktikan kerajaan menjalinkan kerjasama baik dengan negeri pembangkang apabila Menteri Besar Terengganu sendiri turut mengalu-alukan kedatangannya.
“Masa pilihan raya kita perlu lawan, lepas itu damailah, baru boleh jaga kehidupan rakyat.
Cuma dalam politik kita kena beringat, apa yang dituturkan mestilah berdasarkan fakta,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya meskipun dituduh zalim membabitkan isu peruntukan namun beliau tetap menambah peruntukan menerusi Belajawan 2023 bagi Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perlis.
Katanya kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan kepada Kelantan, Perlis, Terengganu, Kedah kerana membawa konsep Madani iaitu semangat kemanusiaan berteraskan beberapa nilai termasuk menegakkan keadilan. –NasionalKini