Aliah Ramli
GOMBAK, 29 Jun – Rumah sampah Sungai Chinchin di sini menjadi rumah kedua bagi seorang warga emas yang secara sukarela menjaga kebersihan di kawasan itu sejak setahun lalu.
Mohd Adnan Hashim, 60 berkata, dia mula melakukankan aktiviti tersebut selepas tidak selesa melihat sampah dibiar bertaburan hingga melimpah ke jalan kampung.
Sejak itu, menjadi rutin hariannya kepadanya untuk menguruskan sampah di kawasan itu bermula seawal subuh hingga jam 12 malam.
“Jika saya nampak sampah bersepah terus saya bersihkan dan alhamdulillah tiada yang membuat aduan kurang senang dengan aktiviti saya di sini.
“Malah, kebanyakan penduduk memberikan reaksi positif, ada yang beri makan kepada saya dan ia menyebabkan kawan saya juga menjadi bertambah,” katanya ketika ditemui Nasionalkini.my, baru-baru ini.
Katanya, hanya individu tertentu yang memahami bahawa berkawan dengan sampah mampu memberi pulangan, walaupun jumlahnya sedikit tetapi ia sanhgat membahagiakan.
“Orang tidak sedar yang ‘berkawan’ dengan sampah boleh mendatangkan duit melalui pengasingan barang kitar semula.
” Saya asingkan sampah kertas, plastik dan botol sudah lama dan baru menjualnya kira-kira tiga ke empat bulan lalu.
” Hasilnya agak lumayan dan mencecah hingga RM1, 000 tetapi keutamaan saya bukan kaut untung sebaliknya kerja sukarela bersihkan tempat ini,” katanya.
Beliau berharap kehadirannya ke situ dapat mendidik masyarakat untuk sama-sama menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah sesuka hati. – nasionalkini.my