KUALA LUMPUR, 10 Mei – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan pelancaran sebuah platform e-dagang khusus untuk mempromosikan produk warisan Sarawak, SARAtage (Sarawak Heritage) .
Pelancaran sempena Minggu Kraf London (LCW) disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri berkata, CENTEXS Commercial komited menyediakan perkhidmatan yang terbaik menerusi platform e-dagang SARAtage kerana ia bukan sahaja mengutamakan keperluan dan kemudahan usahawan, malah mengambil kira keselesaan serta kepentingan pembeli dan peminat kraf tempatan dan luar negara.
“SARAtage membuka peluang kepada pengguna perkhidmatan atas talian untuk terlibat sama dalam memasarkan produk atau perkhidmatan mereka sekali gus membantu mengembangkan jenama produk Sarawak ke peringkat antarabangsa.
“Menerusi platform ini juga, pengguna ditawarkan dengan kepelbagaian produk yang terdapat dalam rantaian industri kraf merangkumi produk, rekaan produk, perkhidmatan selepas pembelian dan maklumat berkaitan usahawan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa, malah ia juga menjadikan pemasaran produk lebih sistematik,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, pengguna dan usahawan kraf di Sarawak digalakkan untuk meneroka laman web www.saratage.my dan mendaftar di platform e-dagang secara percuma untuk mendapatkan rangkaian produk tersebut.
SARAtage membolehkan anda menerokai dan membeli produk warisan Sarawak menerusi lima kategori produk seperti songket dan keringkam, kraf, tekstil seperti baju, pakaian, batik serta aksesori yang berjumlah lebih 500 hasil kreativiti usahawan kraf di bawah CENTEXS Commercial yang menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi. – nasionalkini.my