in

Pilu terkenang abah di Aidilfitri

penang sakit 1

Oleh: Zureen Puteri

KEPALA BATAS 13 April – “Kalau abah ada mesti abah bawa kita beraya.. bawa jalan-jalan”

Ungkapan anak sulung kepada seorang ibu tunggal, Intan Shafinaz Sulaiman, 42, dari Kampung Lahar Kepar di sini itu benar-benar meruntun pilu di hati dan dia hanya mampu menyeka air mata agar tidak disedari anaknya.

Jarang sekali Ahmad Izz Mustaqiem Mohd. Hafiful, 11, mengeluh sedemikian kerana dia anak yang amat memahami keadaan ibunya yang dirundung duka sejak dia berusia empat tahun.

Mengimbau kembali Intan Shafinaz dan arwah suaminya, Mohd. Hafizul Zainol berkahwin pada 2003 dengan masing-masing berusia 22 dan 23 tahun. Sembilan tahun menanti benih kasih dan akhirnya lahir juga putera sulung kesayangan mereka.

WhatsApp Image 2023 04 13 at 12.33.56 PM
Kenangan Adilfitri bersama suami yang masih sihat dan anak-anak yang masih kecil pada 2015

Dua tahun kemudian, pada 2014 lahir pula anak kedua, Ahmad Izzul Hadif,9 dan Intan Shafinaz sama seperti pasangan lain pasti teruja setiap kali tiba 1 Syawal untuk diraikan bersama suami dan anak-anak. Bahagia bukan kepalang.

Namun, siapa sangka suami yang dicintai tiba-tiba sahaja hilang segala daya upaya dan hanya mampu terlantar akibat serangan jantung pada 2016 dan Intan Shafinaz pula kehilangan kaki kanannya akibat komplikasi kencing manis sehingga menjadikan dia juga hilang upaya untuk menguruskan diri sendiri ketika itu.

“Remuk-redam hati namun saya reda apabila melihat anak-anak baru berusia empat dan dua tahun yang sangat memerlukan perhatian kami berdua tetapi apakan daya.. saya sakit dan suami langsung tidak mampu bergerak.

“Saya bersyukur ketika itu abang dan ahli keluarga banyak membantu memudahkan urusan kami empat beranak. Sanak-saudara juga sangat memahami dan sering membantu. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada mereka,” katanya ketika ditemui nasionalkini.my di sini.

WhatsApp Image 2023 04 13 at 12.35.04 PM 1
Di saat suami kritikal Intan Shafinaz tabah meneruskan kehidupan bersama anak-anak yang masih kecil

Menurut anak bongsu empat beradik itu, dia pasrah dengan ketentuan Ilahi apabila suami meninggal pada 2019 dan cukup bersyukur apabila abang kandungnya sanggup menjaga dia dan dua anaknya.

“Ketika saya sakit dan suami pula meninggal.. abang, Rusle Sulaiman, 53, yang merupakan bekas komando sanggup menjaga saya dan anak-anak. Semasa arwah suami terlantar, abang juga yang uruskan.

“Bila saya kembali sihat, sekali lagi saya diuji apabila abang pula kena stroke dan tidak mampu untuk menguruskan dirinya. Abang sekarang perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu. Saya pula ambil tanggungjawab menguruskan abang dan anak-anak sehingga kini,” katanya sambil memberitahu anak-anak cukup berdikari dan amat memahami keadaan mereka.

“Anak saya tidak pernah meminta-minta dan mereka faham. Bila raya kita raikan seadanya sahaja dan syukur ada juga yang menyumbang baju raya untuk anak-anak. Saya sendiri berniaga kecil-kecilan dan dapat komisyen untuk terus menyara hidup ini,” katanya sambil memaklumkan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan sebanyak RM450.00.

WhatsApp Image 2023 04 13 at 12.34.36 PM
Keadaan terkini Intan Shafinaz yang terpaksa menggunakan kaki palsu akibat komplikasi kencing manis

Setiap kali raya, dia tidak menafikan jauh di sudut hati kerinduan yang amat sangat dan sedih mengenangkan anak-anak.

“Ini takdir saya. Saya terima. Anak-anak tidak pernah minta di bawa ke mana-mana kerana mereka faham keadaan kaki ibu.

“Alhamdulilah.. kesihatan saya semakin baik dan boleh memasak untuk anak-anak. Bila raya menitis juga air mata tengok ketupat dan rendang kesukaan arwah suami,” katanya yang merupakan anak yatim piatu. – NasionalKini

140423 phg umpsahur4 1

KILAU UMP santuni polis dan bomba edar juadah sahur

duit i fitri

144,840 rakyat Terengganu layak terima bantuan i-Fitri