KUALA LUMPUR, 6 Julai – Gaji dan keperluan pegawai rendah polis akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan lagi integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, gaji yang diperoleh pegawai rendah polis adalah kecil dan tidak dapat menampung kos sara hidup, terutama bagi mereka yang bertugas di bandar besar.
“Kita melihat perkara ini dan ada juga perbincangan bila kita dapat berbincang dengan pihak KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), kita nyatakan perkara ini untuk dilihat semula, salah satunya adalah perkara melibatkan gaji.
“Sebagai contoh seseorang pegawai rendah polis yang bergaji RM2,500 bertugas di kawasan terpencil seperti Kuala Nerang ia agak banyak (gaji), tetapi apabila dia tinggal (bertugas) di Kuala Lumpur dia menjadi miskin bandar,” katanya seperti dilapor sinar harian, hari ini.
Razarudin pada masa sama mendedahkan terdapat pegawai rendah polis yang bertugas seperti di Kuala Lumpur dan Johor terpaksa menyewa bilik bersama orang lain, berikutan kos tempat tinggal yang tinggi.
“Mereka terpaksa jimat duit dan dalam kalangan mereka ini yang menyertai PDRM bukan terdiri daripada golongan orang kaya, kebanyakannya golongan berpendapatan sederhana,” katanya. – nasionalkini.my