Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Akhirnya impian Andmesh untuk menjejak kaki ke Malaysia terlaksana.
Kedatangan Andmesh baru-baru ini adalah untuk mempromosikan konsert solonya iaitu Konsert Andmesh Kamaleng Live In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Dewan Plenary, KLCC, 8.30 malam, 4 Jun depan.
Andmesh atau nama penuhnya, Jeandmesh Antonio Kamaleng berkata, sejak kecil lagi dia sudah menyimpan impian untuk datang ke Kuala Lumpur.
“Saya suka Malaysia, dari kecil saya sudah punya mimpi harus sampai ke Kuala Lumpur kerana beberapa keluarga saya ada yang bekerja di sini.
“Itu menjadi harapan saya boleh buat konsert di sini. Ini kali pertama saya berkunjung ke Kuala Lumpur. Kelmarin sudah ke KLCC, sudah makan nasi lemak.
“Mungkin saya lewat mengadakan konsert di sini tapi saya senang kerana bagi saya lebih baik mempersiapkan diri dengan lagu yang banyak dan bila datang saya sudah punya senarai karya. Bukan hanya ada satu dua lagu baharu tapi kedatangan saya ke sini, sudah siap untuk mengadakan konsert secara matang dan penuh cerita serta konsep,” katanya.
Dia berkata, konsert yang dipersembahkan harus memberi kesan kepada penonton dan dia ingin sekali berkongsi semua lagu yang ditulis kerana mempunyai jalan cerita dan boleh menjadi inspirasi kepada penonton.
Nama penyanyi kelahiran Pulau Alor, Nusa Tenggara Timur, Indonesia itu mula mendapat perhatian peminat tempatan selepas lagu ‘Cinta Luar Biasa’ meledak di corong radio.
Selain itu, lagu ‘Hanya Rindu’ turut mendapat sambutan di sini.
“Saya hanya sedar yang saya ada ramai peminat di Malaysia selepas release album Cinta Luar Biasa. Dari situ saya tahu ramai orang di sini yang mention nama saya di Instagram dan kirim direct message, katanya peminat saya ramai di Malaysia. Saya rasa wow, okey ada banyak fans tapi tak mungkin seorang Andmesh ada peminat ramai di sini.
“Terima kasih dengan rezeki ini. Jujur saya tak sangka banyak pendengar di sini tapi itulah harapan saya, saya selalu berharap karya-karya sampai walaupun tak ada yang banyak kenal Andmesh siapa tapi menerima karyanya itu sangat mengaprisiasi (menghargai), terima kasih buat pendengar di Malaysia,” katanya yang tidak sabar untuk menghibur peminat di Malaysia.
Jelas Andmesh, dia mempunyai prinsip tersendiri dalam berkarya dan sentiasa berkreatif agar penonton tidak jemu dengan persembahannya.
“Saya pastinya selalu mempunyai prinsip dalam diri bahawa saya harus ada idea kreatif sendiri. Saya sering tanya pada kawan-kawan yang datang sini seperti Rizky Febian dan Mahalini. Saya selalu tanya itu kerana saya selalu punya idea kreatif sendiri. Mereka selalu bilang penonton Malaysia seru, asyik dan menghargai karya,” katanya.
Bagaimanapun Andmesh mengaku semakin dekat tarikh konsert, debarannya semakin kuat.
“Perkara yang saya bimbang bila tarikh konsert semakin dekat adalah saya takut mengecewakan orang-orang yang percaya sama saya. Tapi saya lebih besar rasa untuk membuat mereka merasa bangga.
“Bulan lepas saya mengadakan konsert di Singapura, saya berharap persembahan negara itu menjadi contoh, yang baik saya ambil dan yang tak baik saya perbaiki. Saya selalu persiapkan itu untuk menyempurnakannya di Malaysia.
“Saya tak ada tekanan kerana dari Kharisma Music pun tak ada hal yang dibatasi, saya amat senang dapat menceritakan hal sebenar tentang Andmesh tentang karyanya. Saya rasa dibebaskan, lega dan 100 peratus yakin persembahan saya nanti berjalan natural. Saya pingin bikin semua orang terinspirasi dengan persembahan saya.
“Saya punya lagu baharu yang direlease bulan lalu yang berjudul Luka. Saya persembahkan lagu itu untuk ayah saya. Impiannya adalah untuk menjadikan Andmesh sebagai seorang pemuzik hebat tapi sayangnya di saat mimpinya itu menjadi nyata dia sudah tak ada.
“Ketika mendendangkan lagu itu nanti, saya akan bermain piano dan disinari cahaya lampu,” cerita Andmesh tentang konsep persembahannya kelak. – nasionalkini.my