in

Memori buat kuih raya bersama emak segar di ingatan

WhatsApp Image 2023 04 12 at 12.38.16 PM
Membakar kuih menggunakan api sabut kaedah lama di kampung suatu masa dahulu yang semakin pupus. Gambar hiasan

RAMADAN hampir ke penghujung. Setiap kali tibanya bulan mulia ini pelbagai kenangan manis ketika zaman kanak-kanak dahulu menerjah ke dalam kotak minda, tidak mungkin luput dari ingatan penulis.

Ketika itu awal 60-an dan penulis masih di sekolah rendah, tinggal di sebuah kampung pedalaman yang sunyi dan damai, jauh dari pekan. Penduduknya tidak ramai tetapi hubungan erat bagai keluarga. Hidup penuh mesra, saling tolong menolong.

Yang sering kembali dalam ingatan ialah membuat kuih bersama emak. Biasanya du minggu sebelum menjelang hari raya emak mula membuat kuih untuk tetamu yang bakal berkunjung. Kuih muih emak adalah kuih tradisi seperti bahulu, kuih bakar, bahulu lapis dan dodol. Tiada kuih moden seperti yang banyak di pasaran sekarang.

Di kampung ketika itu semua keperluan membuat kuih disediakan sendiri. Misalnya sekarang jika perlu gula halus, tepung beras atau tepung pulut untuk membuat kuih, cari sahaja di kedai atau pasar raya. Tinggal pilih dan beli. 

Namun dahulu emak terpaksa sediakan sendiri. Untuk mendapatkan tepung beras atau tepung pulut serta gula halus, perlu menumbuk beras dan pulut serta gula.

Bahan-bahan ini perlu dijemur terlebih dahulu dan dipastikan benar-benar kering sebelum ditumbuk.

Di rumah penulis tidak ada lesung. Kena pergi ke rumah bapa saudara yang tinggal berdekatan kerana hanya dia ada lesung besar. Biasanya kerja menumbuk ini diakukan oleh emak pada malam hari. Jadi tidaklah terasa penat kerana siang berpuasa.

Kadang-kadang penulis menolong sikit-sikit. Tapi kata emak lebih banyak mengacau daripada menolong. Tetapi memang berat pun alu menumbuk. Kasihan emak mengerah tenaga, dibantu oleh kakak. 

Beras, pulut atau gula yang ditumbuk kemudian diayak untuk memastikan hasil yang diperoleh benar-benar halus. Kemudian emak akan menyimpan dalam bekas kedap udara sehingga hari membuat kuih.

WhatsApp Image 2023 04 12 at 2.35.14 PM
Acuan bahulu yang digunakan sejak turun temurun dan masih kekal digunakan sehingga kini. Foto: RASA

Emak ada jadual membuat kuih. Lain kuih lain harinya. Waktu buat kuih ini yang seronok bagi penulis. Kononnya sama-sama sibuk membantu emak, tetapi seperti yang emak cakap, lebih banyak mengacau dan menyibuk.

Untuk membuat bahulu, perlu dipecahkan telur dimasukkan dalam pasu besar. Lebih kurang 30 biji telur biasanya yang emak gunakan. Penulis tolong memukul telur. Jika telur sahaja tiada masalah. Ringan sahaja ketika memukul.

Selepas itu gula halus dimasukkan untuk dipukul sekali dengan sukatan tertentu. Ketika ini sudah terasa berat untuk memukul. Tetapi pukulan perlu diteruskan agar telur dan gula benar-benar sebati atau kuih tidak elok menjadi. Untunglah sekarang semua kerja ini boleh dilakukan dengan mesin.

Sebatian ini kemudian diambil sedikit demi sedikit dimasukkan ke dalam bekas lebih kecil. Tepung gandum yang sudah dijemur dan diayak dimasukkan dalam sebatian dan dikacau. Kuantitinya perlu betul agar bahulu jadi dengan elok.  

Apabila adunan sudah cukup mantap, bermulalah masa membakar. Tidak ada alat ketuhar. Itu benda asing bagi penduduk kampung. Bekalan elektrik pun tidak ada. Mandi pun air kolam. Air hujan menjadi air minum. Tetapi pastinya dimasak terlebih dahulu.

Seterusnya adunan diisi dalam acuan besi. Ada pelbagai corak acuan seperti ikan, cermai, belimbing, udang dan lain-lain. Setelah itu acuan dimasukkan ke dalam ‘oven’. ‘Oven’ emak ialah tin minyak tanah yang dibelah dua, diletak di atas dapur masuk.

WhatsApp Image 2023 04 12 at 2.22.25 PM
Air tangan bonda, Sumiah Haji Omar sehingga kini dirindui. Foto: koleksi peribadi penulis

‘Oven’ tin yang dibelah ini di atasnya ditutup dengan belahan tin minyak yang diratakan. Di atas penutup ini diletakkan sabut sebagai bahan bakar. Begitu juga di bawah ‘oven’ bahan bakarnya juga sabut.

Kira berasaplah rumah. Membakar kuih bakar atau bahulu lapis pun menggunakan ‘oven’ ini.

Penggunaan sabut atas bawah untuk lebih mudah mengawal kepanasan. Emak mahir dalam hal ini. Jika api tidak seimbang, dibimbangi bahulu akan hangus. Jika perlu baru emak campurkan sedikit tempurung kelapa. Bara tempurung memang merah panas.

Sesekali emak akan menarik acuan dari oven dan mencucuk-cucuk kuih yang dibakar dengan lidi. Dari situ emak akan tahu samaada bahulu sudah cukup masak. Setelah pasti masak, acuan dikeluarkan daripada ‘oven’ dan diterbalikkan atas tikar berlapik kain sambil dihentak berlahan-lahan. 

Maka keluarlah bahulu yang cantik gebu penuh menyelerakan. Kerana semua orang berpuasa, penulis menjadi tukang rasa.

Kiranya zaman kecil-kecil dahulu selalulah ponteng puasa! Memang sedap bahulu panas-panas.

Tetapi yang lebih mencabar ialah memasak dodol. Tiap tahun buat sebab ayah suka dodol. Biasanya masak di bawah rumah, bimbang hujan. Kawah digunakan dengan bahan seperti santan, telung pulut dan gula.

Apabila mula dimasukkan santan dan gula tidak berat untuk mengacau. Tetapi apabila dimasukkan tepung pulut mulalah liat. Lama kelamaan makin liat, perlu tenaga kuat untuk mengacau. Ayah dan abang selalunya silih berganti. Ini penting agar dodol tidak berkerak.

Kerana itu api juga mesti dikawal dengan baik. Memang penat memasak dodol kerana ia mengambil masa beberapa jam sebelum benar-benar masak. Kalau mula masak pukul sembilan pagi, pukul enam atau tujuh baru boleh angkat. Dodol yang tidak cukup masak tidak tahan lama, mudah berkulat. Ada yang emak bungkus dengan upih. Hingga setahun pun tahan.

Memori indah membuat kuih bersama emak kini tinggal kenangan. Emak dan ayah sudah lama pergi menghadap Ilahi. Semoga Allah cucuri Rahmat ke atas roh mereka dan ahli keluarga yang telah pergi. Segala kenangan akan tetap terpahat di hati.

Oleh: Ahmad Abd Hamid

Beliau merupakan mantan pengarang berita di sebuah organisasi media tempatan.

WhatsApp Image 2023 04 12 at 2.58.10 PM

RUU Lompat Parti Pahang dibentang bulan depan

WhatsApp Image 2023 04 12 at 3.46.43 PM

Wali Band bangga kongsi pentas dengan Floor 88