in

Wali Band bangga kongsi pentas dengan Floor 88

WhatsApp Image 2023 04 12 at 3.46.43 PM
Kumpulan Wali Band tidak sabar menghibur peminat di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wali Band mengakui terharu berikutan masih mendapat kepercayaan penganjur untuk mengadakan persembahan di Kuala Lumpur selepas enam tahun tidak beraksi.

Ditawar menjayakan konsert  Dream Festival Collaboration Vol.2 bersama Floor 88, kumpulan popular Indonesia itu menganggap ia  sebagai ruang untuk kembali menyantuni peminat Malaysia yang terus setia menyokong perjuangan mereka.

Dream Festival Collaboration Vol. 2 akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur 20 Mei depan, menyaksikan Wali Band bakal beraksi selama satu setengah jam membawakan pelbagai pilihan lagu popular dan terbaharu mereka.

WALI BAND FLOOR 88 1
Wali Band bangga kongsi pentas dengan Floor 88 4

Wali Band menjanjikan persembahan terbaik kepada peminat di Kuala Lumpur pada 20 Mei 2023.

“Sehingga kini kami masih meneliti senarai lagu yang menjadi kegemaran peminat di Malaysia. Kami turut mendapatkan pandangan peminat, terutama di media sosial mengenai lagu yang disukai mereka.

“Dari situ, kami akan rangka konsep persembahan yang bersesuaian untuk memberi kepuasan kepada peminat di sana, apatah lagi kami sudah hampir enam tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur,” kata pemain dram Wali Band, Ihsan Bustomi atau Tomi kepada NasionalKini, baru-baru ini.

Selain Tomi, Wali Band yang sebelum ini dikenali sebagai Fiera turut dianggotai Farhan Zainal Muttaqin atau Faank (vokalis), Aan Kurnia (Apoy/gitaris) dan Hamzah Shopi (Ovie/keyboard).

Mengulas kolaborasi bersama Floor 88, Tomi berkata, Wali Band berbangga dapat berkongsi pentas dengan kumpulan pemuzik hebat  Malaysia yang populariti mereka turut menular di Indonesia.

WhatsApp Image 2023 04 12 at 3.46.28 PM
Wali Band bangga kongsi pentas dengan Floor 88 5

Kumpulan kesayangan ramai sedang menyusun lagu-lagu terbaik untuk disampaikan di Zepp Kuala Lumpur.

“Lagu Floor 88 tidak asing bagi kami dan peluang bertemu serta bersilaturahim menerusi Dream Festival Collaboration Vol.2 ini kami anggap sebagai penghargaan besar. Kami senang sekali dapat bekerjasama dengan band yang paling hype di Malaysia ini.

“Pastinya, kami akan berkolaborasi dengan mereka di atas pentas nanti. Apa yang penting, lagu yang dipilih nanti akan membuatkan peminat yang datang senang dan puas melihat persembahan kami,” katanya.

Wali Band bakal mempersembahkan sekitar 15 hingga 17 lagu popular, antaranya Doaku Untukmu Sayang, Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang dan Ada Gajah Di Balik Batu.

Sementara itu, Floor 88 pula menyifatkan, tawaran beraksi bersama Wali Band sebagai peluang keemasan, apatah lagi karya kumpulan popular Indonesia itu sentiasa menjadi rujukan.

“Kami bersyukur terpilih untuk berkongsi pentas dengan nama besar seperti Wali Band. Ini peluang keemasan buat kami menimba pengalaman dengan kumpulan yang sudah 24 tahun bertahan dalam industri muzik.

“Sudah tentu kami tidak sabar bertemu pemuzik yang menjadi rujukan kami sejak di bangku sekolah lagi. Berkongsi pentas bersama mereka adalah penghormatan besar dan kami akan buat yang terbaik untuk konsert itu nanti,” kata vokalisnya, Ayie.

Selain Ayie, Floor 88 turut dibarisi Eric Fuzi (keyboard), Achoi (gitar), Falique (bes), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua). 

Tiket untuk menyaksikan persembahan Dream Festival Collaboration Vol. 2 – Wali Band dan Floor 88 dijual pada harga RM198 (Festival), RM298 (Kategori 2), RM358 (Kategori 1) dan RM5,088 (VIP Box) serta boleh ditempah menerusi laman: ticket2u.com.my. – NasionalKini

WhatsApp Image 2023 04 12 at 12.38.16 PM

Memori buat kuih raya bersama emak segar di ingatan

140423 phg umpsahur4 1

KILAU UMP santuni polis dan bomba edar juadah sahur