Kuantan, 12 April 2023 : Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dijangka akan dilaksanakan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang bulan depan selepas secara dasarnya telah menerima persetujuan dari kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan mahupun pembangkang.
Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pada taklimat yang disampaikan oleh pihak Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang itu, beberapa perkara perlu perhalusi sebagai perlindungan pada jangka masa panjang.
“Jika mendapat sokongan, RUU mesti sampai ke pejabat DUN sebelum 22 April ini. Jadi taklimat ini juga merupakan satu cara untuk kita dapatkan sokongan dua pertiga untuk menyokong RUU yang melibatkan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya selepas taklimat Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Anti Lompat Parti) di bilik mesyuarat UTC, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata,perbezaan RUU negeri Pahang dengan tujuh negeri lain ialah mengenai lima orang ADUN lantikan yang mempunyai kuasa untuk mengundi dalam Dewan Negeri.
“Itu antara perkara yang kita perhalusi manakala 95 peratus lagi boleh dikatakan sama dengan pindaan yang dibincangkan dan diluluskan di peringkat Persekutuan.
“Kita berbincang dengan baik dan akan perhalusi semua perkara yang perlu. Kita tidak terburu-buru untuk menentukan RUU ini perlu diselesaikan sepenuhnya pada Sidang DUN akan datang sahaja,” katanya.