KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa telah menyekat kebebasan suara media.
Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara berkenaan susulan dua portal berita iaitu MalaysiaNow dan Malaysia Today tidak boleh diakses kerana dipercayai telah disekat.
“Jika benar, ini adalah pelanggaran serius terhadap kebebasan bersuara di Malaysia di bawah Anwar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sekatan portal berita itu tegas beliau merupakan penyalahgunaan agensi penguat kuasa untuk menutup mulut pihak yang mendedahkan ketidakcekapan kerajaan.
Sementara itu, Pengarang MalaysiaNow Abdar Rahman Koya berkata. pihaknya sedang menunggu laporan daripada syarikat keselamatan siber global Cloudflare.
“Walaupun kami lega kerana laman sesawang itu boleh diakses semula oleh rakyat Malaysia, tetapi tidak akan berhenti sehingga mengenal pasti punca di sebalik sekatan ini yang menjejaskan beberapa ISP utama.
“Dalam dunia digital, segala-galanya boleh dijejaki dan kita akan tahu tidak lama lagi,”katanya seperti dipetik portalnya,
Sekatan terhadap MalaysiaNow adalah kali pertama sejak 2016 membabitkan portal berita yang mempunyai akreditasi media tertakluk kepada larangan sistematik ke atas akses merentas beberapa ISP utama. – nasionalkini.my
Pada 2016, portal berita The Malaysian Insider disekat selepas beberapa siri laporan tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – nasionalkini.my