Oleh Arman Dhani Zafir
KUANTAN, 4 Mei – Tujuh beradik termasuk lima yang merupakan kurang upaya (OKU) pertama kali menyambut raya tanpa kedua ibu bapa, tahun ini.
Bagaimanapun, ketiadaan ibu bapa ketika sambutan Aidilfitri tahun ini tidak mematahkan semangat dua beradik daripada mereka iaitu Nurul Aina Fitrah Abd Rani, 28, dan kakaknya, Nur Azuraida, 40, mengambil alih tugas menjaga adik-beradik mereka termasuklah berusaha menyediakan kelengkapan raya walaupun secara ala kadar.
Nurul Aina berkata, dua abangnya, Mohamad Asrul Nizam, 38, dan Mohamad Iskandar, 31, tinggal bersama Nur Azuraida di Klang, Selangor, manakala kakak, Siti Nurul Ashikin, 35; Mohamad Ikmal Hakimi, 24; dan Mohamad Amir Azwan, 20, menetap bersamanya di rumah tinggalan ibu bapanya di Kampung Pelindung, Beserah, dekat sini.
“Kakak saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Klang mula menjaga dua abang sejak ayah meninggal dan saya pula menjaga seorang kakak dan dua adik di rumah peninggalan arwah ayah.
“Hanya kami berdua sahaja yang normal, manakala lima lagi adik beradik ada masalah lembam, tetapi mereka boleh mengurus diri mereka sendiri seperti mandi, pakai baju, makan serta minum, namun masih perlu dipantau.
“Ayah dan ibu memang sudah pesan, jika apa-apa terjadi kepada mereka, kami dua beradik perlu menjaga kelima-lima adik beradik istimewa kami ini.
“Walau apa pun yang berlaku, ibu dan ayah sangat berharap agar kami tidak berpisah… sebelum ini, ada juga saudara yang minta untuk menjaga adik-adik saya,” katanya ketika ditemui di sini.
Ibu mereka meninggal 24 April tahun lalu akibat sesak nafas manakala bapanya meninggal dunia 18 Mac lalu kerana masalah kegagalan oksigen.
Kini, Mohamad Ikmal Hakimi dan Mohamad Amir Azwan, sedang mendapat pendidkan khas di Pusat Pendidikan Khas (PDK) Sri Nilam Cahaya, Balok, manakala tiga lagi adik-beradik lain sudah tidak bersekolah.
Bercerita lanjut, anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, walaupun tanpa ayah dan ibu, penyediaan barangan untuk hari raya tetap disediakan kerana tidak mahu adik dan abangnya sedih memandangkan sebelum ini segala kelengkapan disediakan oleh arwah ibu dan ayah tanpa gagal.
“Adik-beradik lelaki saya berperwatakan seperti kanak-kanak sekolah rendah manakala kakak (Siti Nurul Ashikin) pula lebih pandai berdikari berbanding yang lain, mungkin disebabkan arwah ibu banyak melatihnya melakukan kerja rumah.
“Mereka tahu ibu dan ayah sudah tiada, tapi jika membuat persiapan raya, mereka tetap mahu meriah seperti biasa. Hendak ada baju cantik, hendak main bunga api dan hendak memasang lampu warna warni.
“Sebagai kakak, sudah tentu kami berdua akan memberikan yang terbaik. Walaupun pendapatan tidak seberapa, namun saya bersyukur kerana dikelilingi insan baik yang membantu menghulurkan sumbangan,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasaraya.
Nurul Aina yang sudah mendirikan rumah tangga dalam masa sama turut bersyukur kerana suami dan keluarga mertua memahami situasi yang dihadapinya itu.
“Saya bersyukur dapat ibu mentua yang baik. Jika saya hendak balik ke rumah mentua di Maran, ibu mentua turut meminta saya membawa bersama adik beradik saya. Malah disediakan tempat untuk mereka tidur dan melayan mereka dengan baik.
“Kakak saya juga sudah berkahwin dan abang ipar saya juga sangat memahami dan banyak membantu berkorban membantu kami adik-beradik bukan sahaja dari segi tenaga malah masa,” katanya.
Menyentuh tentang kenangan menyambut Aidilfitri bersama ibu dan bapanya, Nurul Aina berkata, perkara paling tidak dapat dilupakan adalah keenakan masakan lodeh dan rendang ibu yang merupakan juadah wajib setiap kali menyambut Aidilfitri.
“Kali ini, kami juga menyediakan juadah sama supaya adik-beradik saya tidak merasa kekurangan menyambut Aidilfitri tahun ini.
“Sebolehnya saya dan kakak melakukan yang terbaik supaya mereka semua dapat menyambut Aidilfitri sama seperti ketika kedua ibu bapa kami masih ada,” katanya. – nasionalkini.my