Oleh: Mohmmad Ishak
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Impian enam beradik dari kampung Banggol Durian dekat sini untuk menyertai ibadah korban tahun ini terlaksana apabila mereka semua sepakat mengorbankan seekor lembu sado jenis “Charolais” yang dipelihara sejak beberapa tahun lalu.
Lebih menarik, daging lembu berkenaan diagih kepada kira-kira 1,000 penduduk di kampungnya.
“Memang itu impian kami untuk menyertai ibadah korban tahun ini dan agihkan daging-daging kepada penduduk sebagai tanda kesyukuran kami, kata salah seorang daripada enam beradik berkenaan.
Bagi Nik Mohamad Salahudin Nik Nizam, mereka memilih lembu sado untuk dikorbankan pada tahun ini kerana berpuas hati dengan kuantiti daging yang banyak sekali gus berpeluang untuk dijamu dan diagih kepada penduduk kampungnya.
Lembu berkenaan katanya sempat ‘tinggal’ bersama dan dijaga dengan penuh kasih sayang selama beberapa tahun sebelum dijadikan ibadah korban tahun ini.
“Kami enam beradik sangat sayangkan lembu sado ini yang diberi nama ‘Rudy’ namun tujuan korban itu untuk melatih umat Islam melepaskan sesuatu yang disayangi semata-mata kerana Allah,”katanya.
Lembu yang dinamakan Rudy itu dibeli daripada rakannya di Gong Badak Kuala Terengganu beberapa tahun lalu.
“Lembu sado ini sangat senang diuruskan dengan sekali makan dan duduk di kandang berbanding dengan lembu kampung yang lain,”katanya.
Malah lelaki berusia 30 tahun iti berkata, tujuan asal membeli lembu ketika itu kerana mahu menyertai Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 bertempat Jabi, Besut.
Malah sangat membanggakan apabila lembu kesayangan itu dinobatkan sebagai Prince of Sado bagi kategori junior dan menerima hadiah bernilai RM500,” ujarnya.
Sebab itu kami enam beradik bersetuju memilihnya sebagai haiwan korban pada tahun ini kerana ia adalah haiwan terbaik yang kami ada ketika ini.- nasionalkini.my