in

165 keluarga di Kampung Hajah Hasnah diganti rumah baru

IMG 20230629 WA0029
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor

Oleh Luth Adwa

JOHOR BAHRU, 29 Jun – Seramai 165 keluarga di Kampung Hajah Hasnah di sini yang menerima notis perobohan unit kediaman dan diarahkan berpindah serta mengosongkan rumah didiami akan ditawarkan rumah ganti.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sebahagian daripada 165 keluarga ini adalah penyewa dan bukan penduduk asal Kampung Hajah Hasnah.

“Namun, kerajaan negeri sedang berusaha menyelesaikan masalah ini supaya tidak ada rakyat Johor hilang tempat berteduh tanpa dibela nasibnya,” katanya di sini hari ini.

Selasa lalu, penduduk Kampung Datuk Hajah Hasnah, Rahmad Dahman, 70, berkata, lebih 100 keluarga di kampung itu buntu memikirkan nasib mereka hendak tinggal di mana setelah menerima notis pencerobohan tanah kerajaan dan diarahkan mengosongkan kawasan tersebut.

Pihaknya menerima notis itu pada 15 Mac lalu dan mempunyai tempoh 60 hari bagi mengosongkan tanah itu selain diarahkan membuka sendiri struktur binaan, bangunan rumah dan garaj dalam tempoh tersebut.

Difahamkan, kekuarga terbabit mula berpindah ke kawasan itu yang dahulunya kawasan paya bagi mengimbangi jumlah penduduk Melayu di kawasan Johor Bahru.

Kampung Hajah Hasnah di mukim Plentong itu antara kawasan setinggan di negeri ini dan sejak 2008, penduduk asal kampung itu ditawarkan 2,720 unit rumah di Pangsapuri EDL.

Semua penduduk asal berpindah ke Pangsapuri EDL, namun atas sebab unit rumah tidak dirobohkan, segelintir penduduk asal yang ditawarkan rumah kemudian menyewakan rumah setinggan mereka kepada orang lain atau menyerahkan rumah untuk diduduki waris atau ahli keluarga lain.

Mohd Jafni berkata, 165 keluarga itu adalah sebahagian daripada 253 KIR di Kampung Hajah Hasnah yang menerima notis, dengan baki 54 keluarga sudah mempunyai pemilikan Pangsapuri Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) di sini, manakala 34 keluarga pula sudah memiliki hartanah di tempat lain, penduduk tetap dan bukan warganegara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 22 unit rumah usang yang tidak berpenghuni atau sudah dikosongkan dirobohkan pada Isnin lalu,” katanya.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan itu antara usaha kerajaan negeri membela nasib rakyat supaya hidup dalam persekitaran lebih bersih dan terhindar daripada bencana.

“Kampung ini terletak di atas tanah rizab sungai yang jaraknya hanya 50 meter dari sungai. Ia menyebabkan kampung ini kerap banjir, sekali gus memberi kesan kepada penduduk. Selain itu, atas sebab berstatus setinggan, mereka tidak mempunyai sistem pengurusan kumbahan dan kebersihan yang efisien,” katanya. – nasionalkini.my

IMG 20230629 163818

Ketepikan ego, bantu mereka yang terpinggir – PM

WhatsApp Image 2023 06 29 at 7.26.02 PM

Enam beradik korban lembu sado seberat 950 kilogram, agih kepada penduduk kampung