Oleh : Adnan Mohamad
SETIU, 22 Mei – “Meskipun saya berjalan menggunakan bertongkat tetapi setiap hari berdoa kepada Allah SWT agar penyakit saya cepat sembuh supaya dapat pergi sekolah bersama kawan-kawan.
“Saya rindu pada sekolah, rakan-rakan sekelas dan guru-guru yang mengajar saya namun apakan daya hidup saya tidak seperti dulu lagi.”
Itu luah Nurfalinatasya Mohammad, 17, yang kini boleh berjalan hanya menggunakan tongkat selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika perjalanan pulang dari sekolah pada 24 November tahun lalu.
Akibat kemalangan itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim di sini itu mengalami patah saraf tulang belakang dan terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selama dua bulan.
Anak bongsu dari tujuh beradik yang tinggal di Kampung Alur Pasir, Bintang berkata, pada masa ini segala keperluan termasuk makan, minum serta mandi diurus oleh ibunya, Rosnani Ismail, 55.
“Hampir enam bulan, saya tidak bergerak dan berjalan hanya berada di rumah sepanjang masa tetapi mujurlah beberapa rakan persekolahan termasuk guru kelas sering datang berkunjung dan bertanya khabar tentang diri saya.
“Tetapi kini, saya amat bersyukur kepada Allah sejak dua minggu lalu sudah ada perubahan pada diri saya kerana saya mula boleh berjalan menggunakan tongkat,” kata pelajar aliran sains tulen itu ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Menurutnya, kedatangan rakan-rakannya membangkitkan semangatnya untuk pergi ke sekolah dan belajar bersama mereka biarpun Tasya dalam kepayahan berjalan dibantu dengan sebatang tongkat.
Sementara itu, Rosnani berkata, sebagai seorang ibu sentiasa sedih apabila melihat Tasya yang tidak jemu-jemu mengulang kaji pelajarannya.
“Dia (Tasya) bersemangat sangat untuk belajar dan dia juga berazam untuk mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini.
“InsyaAllah, saya akan berbincang dengan pengetua SMK Tengku Ibrahim dan saya sanggup menghantar serta mengambil anak saya setiap apabila Tasya dapat belajar di sekolah nanti,” ujarnya.
Sebarang sumbangan boleh menghubungi Rosnani di talian 013-3031361. – nasionalkini.my