KUALA LUMPUR 3 Mei – Di sebalik jangkaan kebanyakan penganalisis bahawa tiada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan menaikkan kadar itu sebanyak 25 mata asas kepada 3%.
Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25% dan 2.75%, menurut bank pusat dalam kenyataan hari ini.
BNM berkata, ekonomi global terus didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh serta pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Bagaimanapun, katanya, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos yang tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.

“Inflasi keseluruhan terus menurun namun inflasi teras terus melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini. Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.
“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutama disebabkan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara termasuk berikutan tekanan yang berterusan dalam sektor perbankan,” jelasnya.
Bagi ekonomi Malaysia, menurutnya, perkembangan terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi berkembang selanjutnya pada suku pertama 2023 selepas mencatatkan prestasi kukuh pada tahun lalu.

Perbelanjaan isi rumah kekal berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang lebih baik memandangkan pengangguran terus menurun ke tahap sebelum pandemik.
Ketibaan pelancong yang meningkat dijangka menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan. Projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan akan menyokong aktiviti pelaburan.
Seperti yang dijangka, menurut BNM, inflasi keseluruhan menunjukkan trend menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini disebabkan oleh faktor kos yang menurun.
“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023, berpurata antara 2.8% hingga 3.8%. Bagaimanapun, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan yang kukuh,” jelas kenyataan itu.
BNM menjelaskan, dengan mengambil kira prospek pertumbuhan dalam negeri yang terus berdaya tahan, MPC menilai bahawa kini adalah masa yang tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar.
Berikutan keputusan ini, katanya, MPC telah mengakhiri rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis COVID-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi.
“Susulan pengukuhan ekonomi Malaysia yang berterusan, MPC juga mengakui perlunya pendirian dasar monetari yang wajar bagi mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan.
“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
“MPC akan terus memastikan pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya. – nasionalkini.my