Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 3 Mei – Dua anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah cedera termasuk seorang dirawat di Hospital Melaka selepas tertusuk kaca ketika memadam kebakaran sebuah kilang perabot di Bukit Rambai di sini, hari ini.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Fazzil Yusof berkata, mangsa, Mohd Arif Akmal Zuklifli, 22 yang terkena kaca di rusuk kanan bagaimanapun dilaporkan stabil.
Seorang lagi Pegawai Bomba Bantuan Mohd Ariffin Razid, 22, melecur pada bahagian leher akibat terkena lelehan air panas namun telah mendapatkan rawatan sementara sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Pematuhan kedua-dua anggota terhadap semua aspek keselamatan dengan memakai semua kelengkapan perlindungan yang sepatutnya berjaya mengelak mereka daripada mengalami kecederaan yang lebih serius.

“Kedua-dua mereka telah diberikan rawatan awal di lokasi oleh anggota Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), sebelum dibawa ke Hospital Melaka,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Fazzil berkata, kejadian kebakaran itu diterima melalui panggilan awam pada pukul 11.20 pagi sebelum lima anggota dari BBP Tangga Batu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Seramai 25 anggota terbabit dalam operasi pemadaman di kawasan perindustrian itu dengan bantuan daripada BBP Melaka Tengah, Cheng dan Ayer Keroh yang mengakibatkan kilang berkenaan terbakar 60 peratus
“Operasi kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12.19 namun operasi pemadaman masih berjalan setakat pukul 3 petang ini,” katanya lagi. – nasionalkini.my