TAWAU, 3 September – Keperibadian mesra rakyat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, terserlah apabila baginda berdua berkenan menyantuni penduduk di sini yang teruja menanti keberangkatan tiba pasangan diraja itu.
Seri Paduka berdua berangkat tiba di Tawau sempena Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan, bermula dari daerah ini dan akan berakhir di Telok Melano, Kuching, membabitkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer melalui Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei, lapor Bernama.
Ketika perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan, Al-Sultan Abdullah berkenan memandu sendiri kereta dengan ditemani Tunku Azizah.
Seri Paduka berdua turut berulang kali meluangkan masa berhenti dan turun dari kenderaan untuk bersalaman serta bergambar dengan penduduk yang menunggu di tepi jalan bagi menyaksikan keberangkatan tiba pasangan itu.
Jadual perjalanan baginda berdua dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan turut tergendala kira-kira tiga jam selepas pasangan diraja itu berkenan meluangkan masa menyantuni rakyat di sepanjang perjalanan yang sepatutnya memakan masa 30 minit.
Sambutan luar biasa turut kelihatan apabila beberapa penduduk setempat, antaranya di Kampung Ranggu, di sini, mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai simbolik menyambut keberangkatan tiba baginda berdua.
Beberapa penduduk turut meminta motoked Seri Paduka berdua berhenti atau memperlahankan konvoi ketika melalui jalan berhampiran kawasan mereka untuk bertemu Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.
Haryati Bahar, 49, meluahkan perasaan gembira dan teruja kerana berpeluang bersemuka dengan Seri Paduka berdua buat kali pertama.
“Lebih teruja dan gembira sebab dapat bersalaman dengan Raja Permaisuri Agong, rasa puas hati walaupun terpaksa menunggu sejak 2 petang tadi. Selama ini cuma nampak di televisyen sahaja,” kata suri rumah itu kepada Bernama.
Siti Elfiya Rahman, 49, pula kagum dengan keperibadian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang sangat berjiwa rakyat, malah pengalaman bersemuka dengan Seri Paduka berdua amat berharga buat dirinya.
“Mungkin lepas ini tiada lagi peluang seperti ini,” katanya yang menunggu keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Jalan Batu 8 dekat Kampung Ranggu sejak jam 2 petang.
Ketika di Sabah dari 3 hingga 7 September ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan dijadualkan singgah di lapan daerah lain, iaitu Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang.- nasionalkini.my