MUHAMMAD Izzat Mohamed Tarmizi sudah mempunyai nama dalam dunia hiburan tempatan.
Pakaian rekaannya juga pernah diperagakan oleh beberapa artis yang sedang mencipta nama dan ada juga artis terkenal menggunakan khidmatnya.
Dia lebih dikenali sebagai Eyzad Elfie mula berjinak dalam bidang perekaan fesyen pada 2016.
Eyzad Elfie mula mempelajari kemahiran menjahit di Sekolah Vokasional Setapak, Kuala Lumpur.

“Selepas itu saya menyambung pelajaran dalam bidang sama di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Kedah.
“Di IKBN Jitra, saya melengkapkan pengajian di peringkat Sijil Kemahiran Tahap 3 dalam pengkhususan jahitan dan rekaan fesyen,” katanya kepada wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Eyzad Elfie memberitahu dia pernah menaja busana untuk program hiburan realiti TV seperti Gegarvaganza (Musim 6 & 7), program Famili Duo dan Anugerah Juara Lagu.
Katanya, dia menyediakan pakaian untuk persembahan artis pembukaan, Umairah – anak kepada Siti Sairah Taruddin (kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza).

“Ada juga busana yang saya hasilkan khas untuk ‘karpet merah’ anugerah berkaitan dunia hiburan tempatan,” katanya lagi.
Dia berharap jenama Eyzad Elfie dapat duduk sebaris dengan jenama terkenal lain dalam kalangan penggiat seni di negara ini.
“Saya sentiasa menjaga kualiti setiap pakaian dihasilkan.
“Ini sangat penting untuk membina jenama Eyzad Elfie dan mendapat kepercayaan daripada komuniti artis dan penggiat seni,” ujarnya.- nasionalkini.my