KUALA LUMPUR, 17 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Hadiah dan Santapan Tengah Hari sempena Kejohanan Golf Amal di Tasik Puteri Golf & Country Club di Rawang, Selangor, hari ini.
Turut berkenan berangkat mengiringi Seri Paduka ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut hantaran Facebook Istana Negara, sumbangan diperoleh melalui kejohanan golf amal itu disalurkan kepada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) dan diserahkan kepada Raja Permaisuri Agong selaku Presiden Seumur Hidup TAFF.
“Kejohanan golf amal itu disertai isteri perwakilan asing di Malaysia, tetamu kenamaan dan kerabat diraja negeri Pahang,” menurut hantaran itu.
Istana Negara turut memuat naik beberapa keping gambar keberangkatan Seri Paduka berdua pada majlis berkenaan. – nasionalkini.my