KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pengerusi UMNO Kelantan menyifatkan agama Islam bukan hak eksklusif sesebuah parti tertentu sahaja seperti didakwa oleh PAS.
Sebaliknya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, parti-parti lain termasuk UMNO sendiri turut memperjuangkan Islam dan orang Melayu.
“Sejujurnya, UMNO Kelantan kesal dan tersinggung dengan pernyataan angkuh berunsur fitnah daripada Menteri Besar Kelantan (Datuk Mohd. Nassuruddin Daud) yang membawa maksud bahawa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ADUN daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) melawan perjuangan Islam.
“Kenyataan yang dikeluarkan sangat bahaya kerana ianya boleh membawa interpretasi lain kepada masyarakat seolah-olah Islam ini milik parti PAS Sahaja.
“Sedangkan orang Melayu Islam di dalam BN dan PH juga menjalankan kewajipan Rukun Islam yang sama,” katanya kenyataan, malam tadi.
Ahmad Jazlan memberitahu, beliau melihat perkara sedemikian boleh menggugat keharmonian hubungan sesama umat Islam di negeri ini.
Katanya, hal ini kerana apabila budaya takfiri (kafir-mengkafir) terhadap saudara seagama menjadi mainan ahli politik untuk menghalalkan tindakan mereka.
Justeru beliau berharap Menteri Besar mentadbir negeri dengan berpandukan al-Quran dan hadis yang betul selain menjaga tutur bicara
“Peliharalah keharmonian hubungan antara saudara semuslim dan carilah titik persamaan, bukannya perbezaan yang boleh memecah belahkan umat Islam,” ujarnya.
Pada Jumaat lalu, Mohd. Nassaruddin yang baru-baru beberapa hari dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang ke-19 melabelkan kemenangan gabungan BN dan PH di Galas serta Kota Lama sebagai melawan perjuangan Islam semasa menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu, di sini.
Ucapan ADUN Meranti itu kemudian tular sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan warganet di laman sosial.
Situasi tersebut menyebabkan dua wakil pembangkang di negeri itu Mohd. Syahbuddin Hasyim dan Dr. Hafidzah Mustakim menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Menteri Besar Kelantan yang melabelkan mereka sebagai melawan perjuangan Islam. – nasionalkini.my